Nyza Ayob Wed Jul 25, 07 04:52:05 PM
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Rakyat sudah cukup matang untuk menilai pandangan yang melampaui batas atau tidak dan jika media sedia ada lebih terbuka, tidak akan timbul masalah pandangan blogger dan pengguna internet ini dikatakan melanggar batas undang-undang.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid melahirkan kekesalan di atas amaran Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap pengendali dan penulis laman blog yang dikatakan membangkitkan isu berbau perkauman serta menghina agama.
Jelasnya, kerajaan terlalu banyak membuat sekatan hingga menyebabkan orang ramai tidak dapat melahirkan pandangan melalui media yang ada, yang mana dapat memberi peluang yang seimbang untuk melahirkan pendapat.
Keadaan ini katanya menyebabkan orang ramai mencari saluran lain melalui teknologi maklumat yang ada pada hari ini.
Jelasnya, jika kerajaan mengambil sikap yang tidak adil terhadap media alternatif, ini memberi gambaran kerajaan menggambarkan sikap dan polisi yang autokratik terhadap rakyat ketika rakyat mahu menggunakan media untuk menyalurkan pendapat.
"Kenapa kerajaan tidak memberi peluang kepada rakyat untuk melontarkan pandangan melalui media yang sedia ada? Jadi, segala pandangan yang berbeza dengan pandangan kerajaan semuanya di sekat. Akhbar alternatif dihadkan serta syarat diperketatkan. Ini menyebabkan akhirnya orang melahirkan pandangan yang agak tegas terhadap sikap kerajaan," katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Menangkis dakwaan Najib bahawa terdapat laman web yang membenarkan fitnah, pembohongan serta kata-kata kesat, jelas Azmi, sehingga hari ini belum dapat dibuktikan di sebalik dakwaan tersebut.
Jelasnya, kenyataan seperti itu tidak seharusnya keluar daripada mulut seorang Timbalan Perdana Menteri. Jika benar sebagaimana yang didakwa katanya, beliau harus menunjukkan bukti.
"Sehingga sekarang belum terdapat bukti yang menyatakan terdapat laman web atau blog yang berunsur fitnah atau pembohongan," jelasnya yang menganggap kata-kata Najib itu tersangat lemah dan seolah-olah mengugut pihak yang tidak sependapat dengan kerajaan.
Tambahnya lagi, kerajaan juga menyiarkan pelbagai bentuk bahan untuk memburukkan parti pembangkang.
"Kerajaan pernah melemparkan kata-kata jika pemerintah ditukar Malaysia akan hancur.Apakah tindakan mereka terhadap pembangkang ini bukan fitnah? Mereka menggunakan saluran rasmi RTM. Keadaan ini lebih berat," katanya kesal.
Pada 23 Julai lalu, Umno membuat laporan di Balai Polis Daerah Dang Wangi terhadap laman web Malaysia Today kerana dikatakan menyiarkan komen sensitif berhubung isu kedaulatan Yang di-Pertuan Agong, Islam dan perkauman.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dilaporkan berkata, komen orang ramai yang disiarkan laman web itu pada 11 Julai lalu melanggar undang-undang dan menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, pada sidang Dewan Negara petang semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz, menyatakan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penulis laman blog terbabit dan akan mengkaji sama ada akan mengenakan tindakan mengikut Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Seksyen 121b Kanun Keseksaan. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
memang apa-apa pun perlu bukti yang kukuh sebelum membuat sesuatu pertuduhan
Malaysia Web Design
Post a Comment