Monday, July 2, 2007

Ezam komited bantu PAS pertahan Kelantan

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Jul 03, 07 10:39:09 AM
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Hrkh) - Bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Mohd Ezam Mohd Noor dalam satu sidang medianya di Pejabat Agung PAS semalam berkata, beliau komited akan membantu PAS Kelantan mempertahankan kerajaan tersebut yang disifatkan sebagai kerajaan bersih dalam Pilihan Raya Umum ke-12 akan datang.
Menurutnya, beliau mengkagumi pemerintahan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berjaya memerintah kerajaan negeri dengan telus dan bersih.
Bantuan itu dihulurkan atas nama Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) dan bertegas menyatakan kini beliau tidak menyebelahi mana-mana parti sama ada PAS, KeADILan mahupun Umno.
Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut dekat sini semalam.
Menurutnya lagi, beliau kini memfokuskan soal membanteras rasuah iaitu antara isu yang akan dibawa semasa Pilihan Raya Umum ke-12 atas nama Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak).
Ezam juga menyatakan baru-baru ini beliau ada membuat satu laporan rasuah membabitkan seorang menteri kanan yang terbabit dengan soal perbendaharaan negara.
Beliau telah menyerahkan laporan itu kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melihat sejauhmana PM akan bertindak atau sebaliknya menutup laporan itu.
Bagaimanapun semasa ditanya mengenai siapa menteri berkenaan beliau enggan mendedahkan nama menteri tersebut.
Beliau cuma mendedahkan bahawa beliau menerima banyak SMS dari pegawai-pegawai kanan kerajaan yang bertanyakan sama ada menteri berkenaan adalah menteri yang terbabit dengan kementerian mereka.
Mengulas kenyataan Ezam itu, Mahfuz berkata beliau telah memulakan perbincangan bagi mewujudkan jawatankuasa bersama Ketua Pemuda PAS dan Gerak dalam usaha menggerakkan perjuangan rakyat.
Ujarnya lagi, kesediaan Ezam bersama jawatankuasa ini amat dialukan kerana Ezam mempunyai pengalaman luas dalam perjuangan membanteras rasuah dan isu rakyat.
Beliau seterusnya menolak dakwaan bahawa pertemuan tertutup dengan Ezam itu adalah langkah untuk memujuk Ezam menyertai PAS, sebaliknya memberi kepercayaan penuh kepada Ezam untuk membuat keputusan gelanggang mana yang seharusnya dijadikan tapak beliau berjuang.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS juga senada dengan Mahfuz dalam mengulas kedudukan Ezam yang kini tidak mnyertai mana-mana parti selepas keluar dari Parti KeADILan Rakyat (KeADILan).
"Ezam ada prinsipnya yang tersendiri dan beliau ada intergriti.Bagi saya, saya yakin beliau tahu di mana perlu beliau (Ezam) berjuang,"tegasnya. - mks.

No comments: