Wednesday, January 31, 2007

Batu Talam gugatkan kredibiliti kerajaan - Husam

Salmah Mat Husain Wed Jan 31, 07 11:38:16 AM
KOTA BHARU, 31 Jan (Hrkh) – Langkah PAS memboikot pilihan raya kecil Dun Batu Talam Ahad lalu ternyata mendapat sambutan apabila kira-kira lapan peratus pengundi tidak keluar mengundi.
Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, jumlah itu sudah cukup untuk menggambarkan mesej PAS diterima biar pun kedudukannya di kawasan pedalaman.
“Begitu juga dengan jumlah undi rosak yang bertambah, ini menjejaskan kredibiliti kerajaan. SPR tidak boleh memejamkan mata dengan ketidakhadiran ramai pengundi walaupun bilangannya dianggap kecil oleh kerajaan.
"Kita perlu ambil kira semua aspek sekalipun di kawasan pedalaman seperti Batu Talam," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Menurutnya apa yang dijangka pembangkang benar-benar menjadi kenyataan apabila bilangan keluar mengundi hanya 67.32 peratus iaitu merosot 9.27 peratus berbanding pilihan raya umum 2004.
Pada pilihan raya Dun terbabit hanya seramai 7,080 daripada 10,511 pengundi keluar mengundi. Manakala sebanyak 385 undi rosak.
Calon BN, Abdul Aziz Mat Kiram mendapat 6,276 undi dan pencabarnya, Ng Chee Pang memperolehi 419 undi. BN menangi dengan majoriti 5,857 undi.
Husam juga berkata PAS bercadang mengemukakan satu laporan khas berhubung beberapa pelanggaran semasa kempen pilihan raya kecil di Batu Talam yang sepatutnya tidak berlaku.
"Kami akan kemukakan kepada SPR dan orang ramai bahawa ada pelanggaran dalam kempen pilihan raya di bawah Akta Pilihan Raya yang sepatutnya diambil tindakan tegas oleh SPR," katanya.
Beliau juga membayangkan PAS mungkin memboikot pilihan raya umum akan datang sekiranya tindakan tegas tidak diambil bagi memperbetulkan kelemahan Akta Pilihan Raya yang ada sekarang.
Katanya, tindakan sedemikian boleh berlaku sekiranya SPR tidak memperbetulkan kelemahan yang ada seperti diakui sendiri Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebelum ini.

No comments: