Sunday, January 14, 2007

Johor hampir lumpuh

Oleh Sufian Abu Bakar, Mohd. Fairuz Yusof dan Wan Syamsul AmlyUtusan Malaysia

Johor hampir lumpuh hari ini selepas kesemua lapan daerah di negeri ini ditenggelami air menyebabkan lebih 103,000 penduduk kini ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir.Kecuali keadaan banjir semakin pulih dalam beberapa hari ini, darurat mungkin diisytiharkan di negeri ini bagi memudahkan kerja-kerja bantuan dan pemulihan banjir.Dengan hujan lebat dijangka berterusan sehingga Rabu, gelombang kedua banjir di Johor memasuki fasa kritikal yang menyaksikan banyak sekolah, jaringan pengangkutan, pentadbiran pihak berkuasa tempatan, hospital dan aktiviti perniagaan tergendala.Dalam ramalan cuacanya lewat petang ini, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran peringkat merah untuk negeri Johor dan meminta penduduk negeri ini bersedia menghadapi hujan lebat selama empat hari lagi. Pada pukul 11 malam ini, seramai 103,944 orang daripada 25,579 keluarga ditempatkan di 335 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri. Jumlah rakyat yang terjejas kerana banjir itu lebih ramai berbanding mangsa ketika banjir gelombang pertama 19 Disember lalu yang mencatatkan bilangan mangsa banjir sebanyak 80,000 hingga 90,000 orang. Pengarah Direktorat Pengurusan Bencana dan Krisis Bahagian Keselamatan Negara (BKN) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Muin Umar memberitahu Utusan Malaysia, para pegawai BKN telah menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini untuk memberi taklimat kepadanya mengenai situasi di Johor.Najib yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari luar negara kira-kira pukul 6 petang ini.Para pegawai BKN dikatakan menemui Najib sebaik sahaja beliau mendarat di KLIA bagi menyampaikan maklumat terkini berhubung keadaan banjir yang begitu luar biasa di Johor. Difahamkan langkah mengisytiharkan darurat di Johor ada dibincangkan bagi memudahkan kerja-kerja bantuan dan pemulihan banjir, tetapi mengikut peraturan, darurat hanya boleh diisytiharkan dengan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Perdana Menteri ketika ini sedang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu, Filipina. Muin berkata, Timbalan Perdana Menteri akan ke Johor dan Pahang esok bagi melawat beberapa kawasan banjir di kedua-dua negeri itu.Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini daerah Batu Pahat mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir iaitu seramai 33,495 orang.Ini diikuti daerah Kluang seramai 16,383 orang, Kota Tinggi (11,329), Johor Bahru Selatan (10,586), Johor Bahru Utara (7,374), Mersing (6,447), Segamat (6,382), Pontian (3,420) dan Muar (5,604).Bandar Kota Tinggi pula dilaporkan masih ditenggelami air sedalam satu meter di beberapa kawasan akibat paras air Sungai Johor yang melimpah sejak dua hari lepas.Semua jalan darat ke Kota Tinggi dari Johor Bahru, Mersing dan Kluang terputus sama sekali. Kota Tinggi kini hanya dihubungi dengan helikopter. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman melawat Kota Tinggi dengan helikopter hari ini.Para pesakit kritikal yang dirawat di Hospital Kota Tinggi juga telah dipindahkan secara berperingkat-peringkat dengan helikopter dan bot tentera ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.Para pegawai kesihatan bimbang nyawa para pesakit di Hospital Kota Tinggi dalam bahaya kerana banjir semakin menghampiri kawasan hospital tersebut.Selain itu banyak jalan raya utama di beberapa daerah yang dinaiki air di negeri ini masih lagi ditutup kepada semua kenderaan. Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang berteduh di pusat pemindahan sementara di Rompin meningkat kepada 2,447 orang apabila paras air di beberapa batang sungai di daerah itu kini berada pada tahap bahaya.Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, kesemua mangsa yang terlibat ialah penduduk Kampung Kurnia, Kampung Perpat, Kampung Rekoh, Ladang Yayasan, Kampung Bukit Seruk, Batu 8 dan Kampung Garung.Kesemua jalan utama ke kampung-kampung berkenaan masih ditutup kepada semua jenis kenderaan manakala paras air Sungai Keratong, Rekoh dan Garung kini berada pada tahap bahayaDi SABAH, jumlah mangsa di pusat pemindahan bertambah kepada 2,178 orang apabila lima daerah di negeri itu terus ditenggelami banjir akibat hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu.Sehingga pukul 4 petang ini, 695 orang masih berada di pusat pemindahan banjir yang membabitkan 39 kampung di Beaufort; 602 mangsa dari 42 kampung di daerah Pitas; 491 orang dari 30 kampung di Kota Marudu; 222 orang membabitkan 20 kampung di Tenom dan 168 mangsa dari empat buah kampung di Beluran.Paras air di Pengkalan Bukit Garam di Kinabatangan, Sabah telah mencecah paras amaran iaitu 9.3 meter dan penduduk tiga buah kampung di daerah itu diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk dipindahkan.Pengerusi Bilik Gerakan Bencana Alam Daerah, Latif Ahmad berkata, tiga buah kampung tersebut ialah Kampung Buang Sayang, Pengkalan Bukit Garam dan Muihbbah.Di KELANTAN, paras air di sungai-sungai utama Kelantan hari ini kembali ke paras normal berikutan cuaca baik.Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan berkata, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang susut kepada 6.54m berbanding 6.88 meter semalam (waspada 7m/ bahaya 9m).Tempat menyukat banjir Sungai Kelantan di Kuala Krai pula mencatatkan paras 18.83m (waspada 20m/bahaya 25m) manakala di Kusial, Tanah Merah 11.44m (waspada 12m/bahaya 16m) dan paras air di Tambatan Diraja di Kota Bharu susut kepada 1.64m (waspada 3m/bahaya 5m).

No comments: