Sunday, January 21, 2007

PAS sedia hadapi pilihan raya bila-bila masa

Sahar Abdul Majid Mon Jan 22, 07 05:06:27 AM
KUNDASANG,22 Jan (Hrkh) – PAS sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dato’ Mustafa Ali.
“Kita sudah bersiap menghadapi pilihan raya umum kali ini dan jentera pilihan raya PAS di seluruh negara telah pun digerakkan,”demikian kata beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis Ijtimak Pilihan Raya dan Konvensyen IT PAS Sabah dekat sini kelmarin.
Kira-kira 150 orang para petugas PAS hadir pada majlis itu. Hadir sama, Pengerusi Lajnah IT PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Syamsuddin; Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ustaz Ismail Abdullah; Ketua Pemuda PAS Sabah, Ustaz Anuar Ali dan pimpinan peringkat Perhubungan Kawasan dan Dewan-dewan.
Menurut beliau, Umno dan Barisan Nasiional (BN) tidak boleh terus dibiarkan bermaharajalela melakukan apa sahaja bentuk kezaliman terhadap rakyat di Negara ini.
“Penyertaan kita dalam demokrasi dan pilihan raya adalah satu langkah untuk membendung kezaliman berterusan yang dilakukan oleh pemerintah hari ini,” tegas beliau.
Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu melihat PAS dan gabungan politik pembangkang yang semakin kukuh amat ditakuti oleh Umno dan BN ketika ini.
Gabungan ini katanya, akan diteruskan dan diperkasakan bagi menghadapi Umno dan BN.
Menurutnya lagi, Umno sekarang ini semakin resah menghadapi pembangkang apabila semakin banyak bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh mereka diketahui rakyat selain pergolakan dalaman Umno yang semakin serius.
Justeru itu, beliau mengingatkan jentera pilihan raya semua peringkat dan petugas-petugas PAS meningkatkan semangat juang dan strategi jentera pilihan raya dimantapkan.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh pilihan raya Batu Talam yang kini sedang berlangsung di Pahang.
Dalam ulasannya, langkah PAS dan parti pembangkang lain memulaukan pilihan raya berkenaan sebagai tamparan hebat kepada Umno dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita amat berharap langkah itu memberi kesedaran kepada mereka agar memulihkan segera demokrasi yang semakin tercalar,” ujarnya.
Mengenai langkah untuk turut memboikot pilihan raya umum akan datang, katanya, pihaknya bersama parti pembangkang lain masih dalam kajian dan belum membuat sebarang keputusan mengenainya. - mks.

No comments: