Helmi Khalid Wed Jan 03, 07 07:24:13 AM
ALOR STAR, 3 Jan (Hrkh) - Setelah sekian lama Parti Islam Semalaysia (PAS) memberi amaran kepada rakyat akan bahayanya penerapan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia kelima, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, mutakhir ini telah terbukti amalan dan gaya hidup Hadhari amat membahayakan kesucian Islam.
Insiden di Terengganu, ketua Islam Hadhari, Abdullah berbalas pegang tangan di atas bahu Datuk Michell Yeoh, pelakon wanita James Bond dan adegan laga pipi antara Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Dato' Seri Najib Tun Razak dengan artis lelaki Bollywood di Kuala Lumpur cukup untuk memperlihatkan bahawa Islam Hadhari menghalalkan apa yang diharamkan dalam ajaran Islam yang dibawa junjungan besar Muhammad s.a.w.
"Kedua-dua perbuatan ini jelas diharamkan oleh Islam, bagaimana pula boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan isteri Timbalannya, ini adalah bukti kukuh Islam Hadhari adalah satu ancaman kepada nilai hidup seorang Muslim, ia amat membahayakan," tegas Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Ustazah Aishah Ghazali.
Katanya, di ketika negara menghadapi krisis moral golongan muda yang meruncing, perbuatan Abdullah dan Rosmah itu, memberi isyarat bahawa kerajaan Islam Hadhari telah membelakangkan Islam dan langsung tidak sensitif dengan masalah moral yang runtuh sekarang ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Musoddak Ahmad pula mendesak Abdullah dan Rosmah memberi respon segera mengenai perilaku tidak bermoral mereka itu.
"Abdullah dan Rosmah mesti sedar mereka adalah orang penting dalam negara ini, perbuatan itu akan menjadi ikutan, media hendaklah mendapatkan segera komen dari mereka berdua," sambung beliau.
Katanya lagi, rakyat sudah sedia maklum perbuatan itu adalah haram di sisi Islam, cuma rakyat juga ingin tahu apa pula respon Abdullah, mungkin dia tak tahu yang dipegang itu adalah bahu seorang wanita atau dia terlena waktu Michell Yeoh membalas memegang tangannya.
Sambungnya, rakyat mesti sedar sejak berpuluh tahun lamanya pemimpin Umno memfitnah bahawa PAS hanya memperalatkan Islam untuk meraih undi, kini pembohongan mereka itu telah diketahui umum, nyata sekali Islam Hadhari yang diperkenalkan hanya sebagai topeng untuk mereka melanggar hukum Allah.
Kata Musoddak, perbuatan Abdullah dan Rosmah itu mungkin ada kaitannya dengan fatwa Setiausaha Parlimen DiJabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Mashitah Ibrahim yang menghalalkan wanita yang dalam kesempitan hidup untuk melacur.
"Mashitah orang kuat di Jabatan Perdana Menteri, dia juga dianggap ustazah Umno, mungkin Abdullah dan Rosmah fikir kalau melacur diri pun Mashitah kata boleh, takkanlah pegang bahu wanita yang tak beralas kain dan laga pipi antara lelaki dan perempuan tak boleh pula," ujar beliau.
Sementara itu, Pendaftar Kolej Islam Darul Ulum (Kidu), Che Din Arshad pula berpendapat adegan yang dilakukan Abdullah dan Rosmah itu memperlihatkan diri mereka yang sebenar.
"Bagi orang Melayu, perbuatan itu amat pelik, Islam hukum haram, tetapi bagi sesetengah golongan Melayu mereka menganggap itu tidak salah kerana ia dianggap gaya hidup moden dan 'sporting'.
Beliau pula mendesak cerdik pandai dari universiti-universiti untuk mengulas, jangan hanya pandai memuji Pak lah, inilah masanya mereka memberi teguran, jangan sanggup bersekongkol dengan perkara mungkar, adakah mereka hanya berupaya memuji tetapi tidak ada ilmu untuk menegur perkara sumbang seperti itu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment