Friday, January 12, 2007

PAS hantar peluru berpandu ke Putrajaya

Abu Bakar Rahman Fri Jan 12, 07 10:01:52 PM
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Hrkh) - Keputusan PAS memboikot Pilihan Raya Kecil Batu Talam sama ertinya Pas menghantar peluru berpandu ke Putrajaya, kata bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin.
"Bagi mereka yang tidak ada asas atau belajar sains politik, terutama orang-orang Umno/Barisan Nasional (BN) tentulah keputusan itu sebagai menunjukan satu kekuatan Umno/BN dan berita gembira seperti itu adalah seakan selari dengan komen yang diberi oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) "itu dia punya fasal" .
"Tetapi bagi yang faham apa erti politik, tindakan memboikot itu sama ertinya Pas menghantar peluru berpandu ke Putrajaya, walau pun bomnya tidak nampak melutup tetapi kerosakannya amat terkesan," kata penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad itu dalam blognya, Sang Kelembai.
Beliau menyifatkan isyarat yang dihantar oleh PAS dihantar kepada SPR sebenarnya bertujuan untuk dihantar seluruh dunia.
"Sekarang nama Malaysia tercemar, sebagai pengamal demokrasi yang Perdana Menterinya seorang Pengerusi Pertubuhan Kedua terbesar selepas PBB termasuk Pertubuhan Negara Berkecuali telah dimalukan oleh PAS.
"Isyarat yang dihantar oleh PAS dihantar kepada SPR sebenarnya bertujuan untuk dihantar seluruh dunia walau pun tidak memakai satelit Measat 5," kata Zaharin yang dipecat dari Umno 29 September lalu kerana mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Seorang lagi blogger yang juga penyokong kuat Dr Mahathir, Amin Yatim menyifatkan percaturan PAS kali ini amat tepat dari segi taktikal.
"Saya ingin berbeza pendapat dengan Datuk A Kadir Jasin yang menganggap tindakan Pas dan Keadilan menarik diri sebagai bacul. Bagi saya percaturan PAS kali ini amat tepat dari segi taktikalnya," kata beliau dalam blognya, Cuit Sikit.
Menurut beliau, PAS dan Parti Keadilan Nasional tidak mahu keputusan pilihan raya kecil itu akan mengejutkan Perdana Menteri yang masih dibuai puja dan puji mengenai populariti beliau.
"Bagi mereka Batu Talam bukan agenda perjuangan dan survival politik. Mereka tidak mahu Abdullah berubah kerana ini akan menjejaskan peluang mereka dalam pilihan raya akan datang.
"Dengan kata lain, Pas dan Keadilan tidak mahu Pak Lah sedar bahawa laporan-laporan daripada kumpulan cerdik pandai bawah Khairy adalah palsu belaka," kata beliau.
PAS, kata Amin, mengambil pengajaran daripada pilihan raya kecil di Kelantan lalu, bahawa kekuatan jentera BN amat sukar ditangani dalam pilihan raya kecil.
"Mereka ingin menunggu Pilihan raya umum ketika jentera BN terpaksa berpecah ke serata tempat untuk memberi kejutan," katanya.
Amin juga menarik perhatian tentang "Skim Cepat Kaya" menjelang Pilihan Raya Kecil Batu Talam.
"Kini peluang terbaik kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi cepat kaya. Sekiranya ada popular atau ada sedikit pengaruh di Raub," katanya.
Sediakan RM 5, 000.00 dan bertandinglah sebagai calon bebas dan besar kemungkinan akan menang atau mendapat durian runtuh ditawarkan untuk menarik diri, kata beliau.
"Apakah BN tidak sanggup membayar RM 50 - 100 ribu supaya anda menarik diri berbanding menghabiskan RM 1 juta untuk kempen kali ini?
"Inilah skim cepat kaya paling menarik," katanya.

No comments: