Sunday, January 14, 2007

Banjir buruk di Johor - PAS ajak rakyat solat hajat

Mohd Rashidi Hassan Sun Jan 14, 07 03:55:27 PM
KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh) - PAS mengajak rakyat Malaysia menunaikan solat hajat bagi memohon kehadrat Allah SWT agar segera meredakan hujan lebat khususnya di Johor kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.
Beliau berkata, PAS amat simpati dengan rakyat Johor yang sedang dilanda banjir besar kali kedua yang nampaknya lebih buruk daripada banjir pertama yang melanda pada 18 Disember lepas.
Ustaz Nasharudin memberitahu pihaknya akan bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir khususnya bagi kerja-kerja menyelamat dan menghulurkan bantuan sekadar yang termampu.
Beliau memaklumkan perkara demikian ketika dihubungi semasa lawatan beliau ke Johor hari ini.
Dalam pada itu Timbalan Presiden PAS menggesa semua Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri agar menggerakkan jenteranya bagi membantu PAS Johor seberapa segera.
Jentera pemuda PAS turut dikerahkan untuk turun segera ke Johor bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
Berdasarkan laporan media setakat ini lebih 100 ribu mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.
Banjir juga mengakibatkan sebahagian besar daerah-daerah di negeri Johor terputus hubungan dan menyebabkan perniagaan lumpuh sama sekali.
Banyak pejabat kerajaan, bank, pusat perniagaan dan sekolah ditutup.
Menurut sekretariat PAS Johor, mereka amat memerlukan makanan segera (yang tidak perlu dimasak) seperti roti, biskut dan minuman botol atau kotak kerana ketiadaan peralatan memasak.
Antara barangan lain yang diperlukan seperti pakaian, selimut, lampin bayi dan lain-lain keperluan harian.
Bantuan anda diperlukan! PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir melalui Tabung Kebajikan PAS Pusat (no akaun Maybank : 564070705537).
Mereka yang bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk Johor boleh hubungi Penyelaras bilik Gerakan Banjir Johor, Mazlan Aliman (0137130103), Mustafa Abdul Rahman (019-3635546), Rohaizat (013-7678474), Onn Jaafar (019-7617220) atau masukkan terus bantuan kewangan ke dalam akaun Bank Islam 01032010007572.

No comments: