Abu Bakar Rahman Sat Jan 13, 07 01:32:49 AM
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan terlebih dahulu "undi dari kubur" di dalam daftar pemilih sebelum Pengerusinya bercakap tentang "gelanggang" yang "adil" dan mendakwa tidak ada pengundi hantu.
Menurut laporan Al-Jazeera, Jumaat lalu Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengakui terdapat kira-kira setengah juta nama orang yang telah mati di dalam daftar pemilih.
"Bila anda bercakap mengenai orang-orang yang telah mati di dalam daftar pemilih, saya mengakui memang begitu banyak," Abdul Rashid dipetik oleh agensi berita itu sebagai berkata.
Di dalam satu kes, lapor Al-Jazeera, nama seorang wanita yang meninggal dunia pada tahun 1975 ketika berusia 77 tahun masih disenaraikan dalam daftar pemilih 2006.
"Jika terdapat begitu banyak 'undi dari kubur', Rashid jangan mendakwa tidak ada pengundi hantu dan jangan melarang rakyat menahan 'bas-bas dari kubur' ketika pilihan raya," Mohamad Sabu mengingatkan.
Menurut beliau, selagi SPR tidak membersihkan daftar pemilih, selagi itulah Abdul Rashid dan SPR tidak berhak melarang dan menghalang rakyat bertindak mempertahankan demokrasi dan amalan pilihan raya yang bersih termasuk menahan bas-bas yang mereka yakini membawa pengundi hantu.
"Banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh SPR untuk memastikan proses pilihan raya yang telus, adil dan saksama. Kita telah berkali-kali menyatakan perkara itu dalam perjumpaan dengan Abdul Rashid sendiri.
"Jika SPR enggan melakukannya, pelbagai perkara yang membongkar penyelewengan dan demokrasi pembohong di negara ini akan terus berlaku dan berlaku, bukan setakat menahan bas-bas yang membawa 'undi dari kubur' sahaja," katanya lagi.
Ketika mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian Pilihan Raya Kecil Batu Talam baru-baru ini, Abdul Rashid memberi amaran supaya "jangan pergi tahan bas".
"Bagi kami, tidak ada pengundi hantu. Dan kita harap orang tak ganggu proses pilihan raya ini. Jangan pergi tahan bas, misalnya, kerana takut (ia membawa) pengundi hantu," dakwa Pengerusi SPR itu.
Diminta mengulas kenyataan para pemimpin Umno yang terus menaruh harapan agar PAS meletakkan calon bebas setelah memboikot pilihan raya kecil itu, Mohamad Sabu menegaskan, mana-mana ahli PAS yang bertanding sebagai calon bebas akan dipecat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment