Salmah Mat Husain Tue Jan 16, 07 05:16:14 AM
PENGKALAN CHEPA, 16 Jan (Hrkh) – Banjir besar yang melanda Johor sekarang adalah masa terbaik bagi manusia untuk melihat kebesaran Allah SWT yang boleh menurunkan bala ke atas sesiapa sahaja.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sekali pun manusia mempunyai peralatan canggih, namun mereka tidak dapat menolak ujian yang didatangkan dari Allah.
“Umat Islam tidak boleh berpandu kepada kecanggihan sains semata-mata tanpa melihat kebesaran Allah SWT terhadap apa yang berlaku. Namun malangnya sekarang manusia hanya berpandukan kepakaran sains semata-mata tanpa melihat kebesaran Allah.
“Selagi kita hanya fikir tentang sains, selamanya kita tidak akan faham, kecuali apabila mengingati kebesaran Allah,” ujarnya sebagai mengulas perkembangan banjir besar yang melanda selatan Semenanjung sekarang.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian dividen Program Pembangunan Ladang Rakyat peringkat Parlimen Pengkalan Chepa, di Sekolah Menengah Agama Arab Badang, dekat sini kelmarin.
Johor dilaporkan hampir lumpuh sejak banjir melanda beberapa hari lalu. Sehingga malam tadi hampir 100,000 penduduk dipindahkan. Banjir yang menenggelamkan semua bandar di Johor dikatakan akan berlarutan beberapa hari lagi.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, walaupun peralatan canggih yang mampu mengesan tompokan awan tebal di tempat-tempat tertentu, namun pada bila-bila masa sahaja Allah boleh mengalihnya ke tempat lain.
“Allah menurunkan hujan yang lebat di tempat-tempat yang dikehendakiNya, namun sekiranya ada di kalangan hambaNya berdoa apabila melihat awan tebal, ia boleh dialih ke tempat lain pula.
“Rasulullah sendiri pernah berdoa apabila melihat tompok awan hitam yang tebal agar Allah menurunkan hujan di tempat lain seperti bukit-bukau,” ujarnya.
Beliau berkata, kemungkinan disebabkan doa berkenaan sudah menjadi amalan rakyat di Kelantan banjir besar tidak melanda tahun ini.
Pada majlis itu seramai 135 peserta menerima dividen Ladang Rakyat bagi peringkat Parlimen Pengkalan Chepa iaitu sebanyak RM600 setiap seorang.
Sementara itu, Pengurus Eksekutif Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, sebanyak RM2.9 juta yang membabitkan 2,500 penerima telah dagihkan bermula Julai tahun lalu. Menurutnya, setiap penerima memperolehi sejumlah RM600 untuk tempoh tiga bulan.
Beliau juga berkata, Ladang Rakyat akan memperluaskan ladangnya di beberapa lokasi baru yang telah dikenal pasti bagi membolehkan lebih ramai lagi penduduk miskin menerima bantuan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment