Friday, January 12, 2007

Boikot pilihan raya kerana tidak mahu pengundi jadi "raja sehari"

Abdul Aziz Mustafa Fri Jan 12, 07 03:52:30 AM
KUALA LUMPUR, 12 Jan (Hrkh) - Tindakan memboikot Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam adalah tindakan yang tepat untuk memperjuangkan hak asasi rakyat negara ini yang dinafikan proses pilihanraya yang telus, adil dan saksama, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar menegaskan.
"Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri memberikan gambaran yang jelas bahawa pilihan raya di negara ini tidak telus, tidak adil dan tidak saksama apabila berkata, kajian semula undang-undang dan peraturan pilihan raya bertujuan menjadikan proses pilihan raya lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.
"Oleh kerana cadangan Pengerusi SPR jelas tidak diterima oleh para pemimpin Umno dan Barisan Nasional, terutama reaksi Perdana Menteri yang jelas membayangkan keengganannya, tindakan yang lebih tegas perlu dilakukan untuk membolehkan rakyat negara ini mendapat hak mereka, iaitu proses pilihanraya yang lebih telus, adil dan saksama," katanya.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman baru-baru ini menyatakan undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak.
"Kita tidak mahu pengundi menjadi raja sehari sahaja, iaitu pada hari mengundi sahaja tetapi dalam masa lima tahun selepas itu mereka terus menjadi kuli dan alat untuk kepentingan dan ketamakan pihak yang memperalatkan proses pilihan raya yang tidak telus, tidak adil, dan tidak saksama seperti yang digambarkan oleh Pengerusi SPR sendiri," katanya.
Rakyat yang dikejar-kejar untuk mendapatkan sokongan ketika pilihan raya mestilah dipastikan hak mereka untuk mendapat proses pilihan raya yang telus, adil dan saksama untuk memastikan mereka "menjadi raja setiap hari, bukan raja sehari," katanya.
Mengulas dakwaan Abdul Rashid semalam kepada sebuah stesen televisyen bahawa "gelanggang" yang yang dibukanya adalah "gelanggang" yang adil, Mahfuz menyifatkan kenyataan itu sebagai kenyataan orang yang tertekan.
"Jawapan Abdul Rashid memperlihatkan beliau kini sedang menerima tekanan berikutan kenyataannya sebelum ini malah membuktikan Umno dan Barisan Nasional (BN) mahu mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai joki kepada SPR yang selama ini dijadikan kuda tunggangan mereka," katanya.
Mahfuz menyifatkan dakwaan Abdul Rashid bahawa gelanggangnya adalah adil menjatuhkan maruah dirinya sendiri.
Malah, dakwaan itu membuktikan dengan terang dan jelas bahawa keputusan memboikot pilihanraya kecil itu adalah keputusan yang sangat tepat.
"Pilihan raya yang adil semakin ketara tidak boleh diharapkan kerana Pengerusi SPR sendiri cakap berbelit-belit, mula-mula mengakui bahawa undang-undang dan peraturan pilihan raya di negara ini tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan. Selepas itu mendakwa pula gelanggang yang dibukanya adalah adil.
"Apa yang mahu dibuktikan oleh Abdul Rashid sehingga mendakwa beliau boleh membuka gelanggang yang adil dengan menggunakan undang-undang dan peraturan pilihan raya tidak memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan?" beliau mempersoalkan.
Mahfuz seterusnya mempersoalkan, bagaimana Abdul Rashid boleh menyediakan "gelanggang" yang adil jika kenyataan demi kenyataannya semakin membuktikan beliau berada dalam kawalan dan tekanan kerajaan BN?
Abdul Rashid, katanya lagi, tidak perlu membuat dakwaan mengenai keadilan kerana tugas utamanya ialah membuktikan keadilan.
"Beliau dan SPR juga mesti membuktikan bahawa mereka berkhidmat untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan kerajaan BN walaupun mereka dilantik dan ada kalanya merayu untuk mendapat jawatan yang kini mereka pegang dari kerajaan BN," katanya.
Mengenai dakwaan para pemimpin Umno dan BN bahawa tindakan memboikot pilihanraya adalah tindakan yang pengecut, sandiwara dan sebagainya, Mahfuz menyifatkan reaksi-reaksi tersebut sememangnya telah dijangkakan dan lapuk.
"Kita memang mahu mendengar pandangan dan kritikan atas sesuatu tindakan kita, tetapi kalau reaksi lapuk seperti itu, tak perlulah dihiraukan kerana sejarah menjadi saksi yang jelas bahawa yang sebenarnya takut ialah Barisan Nasional sehingga tidak malu sedikitpun mempertahankan proses pilihan raya yang digambarkan oleh Pengerusi SPR sendiri sebagai tidak telus, tidak adil, dan tidak saksama," katanya.
Mengenai reaksi keras mereka yang kecewa terhadap pemboikotan itu kerana mengharapkan pilihan raya kecil Batu Talam dapat memberikan mesej bahawa rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi, Mahfuz berterima kasih atas keprihatinan mereka tetapi menegaskan keadilan mesti diberikan keutamaan untuk diperjuangkan.
"Apa yang lebih penting ialah hak rakyat untuk memberikan mesej mereka melalui pilihanraya yang telus, adil dan saksama mesti diperjuangkan," tegas beliau.

No comments: