Saturday, January 13, 2007

Salahuddin cabar Pengerusi SPR bersumpah tidak lakukan penipuan

Abdul Aziz Mustafa Sat Jan 13, 07 03:42:16 PM
KUALA LUMPUR, Jan 13 (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bersumpah dengan kalimah "waLlahi, wabiLlahi, wataLlahi" di Masjid Negara bahawa beliau tidak pernah melakukan sebarang penipuan di dalam pilihan raya.
Ketika berucap dalam majlis anjuran PAS Johor bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Taman Melewar malam ini, Salahuddin juga mencabar Abdul Rashid berdebat secara terbuka dengannya mengenai pengundi hantu.
Mengulangi apa yang ditegaskannya kepada pemberita petang tadi, beliau menyifatkan pilihan raya di Malaysia adalah yang "paling kotor" sepanjang Abdul Rashid menerajui SPR.
"Kita akan lawan sampai kita dapat pilihan raya yang adil," tegas beliau.
Salahuddin juga mendedahkan apa yang disifatkannya sebagai pembohongan Pengerusi SPR itu.
"Kira-kira lima bulan yang lalu, Haji Mohamad Sabu, Dr Syed Azman (Syed Nawawi), Hanifah Mydin dan saya sendiri berjumpa dengan Abdul Rashid untuk menyerahkan memorandum tiga perkara yang menuntut dibersihkan daftar pemilih, menghapuskan undi pos dan celup jari selepas mengundi untuk mengelakkan penipuan.
"Sebelum kami berjumpa (dengan Abdul Rashid), DAP terlebih dahulu berjumpa dengannya. (Setiausaha Agung) DAP, Lim Guan Eng memberitahu kami bahawa Abdul Rashid telah memberitahu mereka bahawa PAS membantah (sistem) celup jari kerana bertentangan dengan Islam.
"Apabila kami bertemu Abdul Rashid, kami soal dia, betul dia kata begitu? Dia kata bukan PAS kata, ulamak India kata. Inilah lidah biawak, lidah bercabang," beliau mengecam Pengerusi SPR itu.
Dalam perjumpaan itu juga, Salahuddin menceritakan, Abdul Rashid mendakwa mahu membuat perubahan dan melakukan reformasi.
"Bila saya berkata, jangankan pembaharuan, undang-undang yang ada pun dia langgar, contohnya menganjakkan waktu mengundi di Selangor pada pilihanraya (2004) lalu. Kita tanya, peraturan mana? Dia kata, kuasa dia," Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menceritakan.
Dalam majlis yang diadakah khusus untuk menggerakkan bantuan susulan kepada mangsa-mangsa banjir yang disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang itu, Timbalan Presiden Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Pesuruhjaya PAS Johor Dr Mahfudz Mohamad turut berucap.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat bulanan Pemuda PAS petang tadi, Salahuddin menyatakan PAS akan mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin meminta keanggotaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan peraturan berkaitan proses pilihanraya diteliti semula.
Salahuddin berkata, antara kandungan memorandum tersebut ialah tuntutan supaya Abdul Rashid meletak jawatan.
"PAS Pusat sedang merangka memorandum itu dan kita akan cari satu tarikh untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong memohon Seri Paduka meneliti semula perkara-perkara berkaitan SPR dan peraturan pilihan raya ini," katanya.
Penelitian semula itu perlu, katanya, untuk memastikan proses pilihanraya di negara ini berjalan secara telus selaras dengan prinsip demokrasi.
"Kita tengok dalam era Abdul Rashid inilah, SPR paling teruk dengan pelbagai masalah dan perkara-perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini (tetapi) berlaku semasa kepimpinan Abdul Rashid.
"Contohnya isu pengundi hantu yang sememangnya wujud sekalipun ada teknologi maklumat. Itu tak termasuk tindakan SPR melanjutkan waktu mengundi di Selangor dari jam 5 petang kepada 7 petang semasa pilihanraya umum 2004. Tak pernah berlaku sebelum ini dan perkara itu bertentangan dengan peraturan," katanya.
PAS juga menuntut sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk mengkaji semula peraturan dalam proses pilihan raya di negara ini, katanya.
Mengenai isu berkaitan, Salahuddin berkata tindakan PAS memboikot pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam direstui penyokongnya di negeri itu.
"Kita dah jelaskan kepada mereka sebab kita boikot itu kerana kita mahu ketelusan daripada SPR dan kita juga mahu SPR diteliti semula. Mereka terima dan tidak timbul isu penyokong parti marah," katanya.

No comments: