Friday, January 19, 2007

Perutusan Maal Hijrah 1428 Presiden PAS

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Fri Jan 19, 07 09:37:35 AM

Assalamualaikum wrt. wbt. Bersempena dengan kedatangan tahun Hijrah 1428 ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah kepada seluruh masyarakat serta umat Islam di Malaysia.
Bersempena dengan sambutan ini, adalah amat penting bagi umat Islam menyedari betapa cabaran besar yang sedang dihadapi oleh Islam dan umatnya di seluruh dunia sekarang ini.
Khususnya, label, serangan dan ancaman Barat serta Zionisme terhadap Islam dan umatnya, sedang berlaku dengan penuh tragis.
Lihatlah sahaja cabaran yang terpaksa dihadapi saudara-saudara kita di bumi Palestin, Iraq, Afghanistan dan yang terbaru di Somalia.
Islam dan umatnya diletakkan di kandang orang salah oleh kuasa-kuasa besar dunia dengan pelbagai label seperti 'pengganas atau terroris', seolah-olah Islam menjadi ancaman kepada keamanan dunia.
Marilah kita semua menyedari bahawa sekarang, Barat dan Zionis sedang mengistiharkan perang terhadap Islam dan umatnya.
Marilah juga kita mengambil iktibar tentang apa yang sedang berlaku di negara kita.
Bahawa cabaran untuk umat Islam begitu besar, bukan sekadar krisis penyalahgunaan kuasa, rasuah serta tekanan terhadap Islam.
Umat Islam juga semakin tercabar dengan ancaman gejala murtad di kalangan penganutnya sendiri.
Saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar kembali mengukuhkan saf ummah untuk menghadapi ancaman ini serta meletakkan keyakinan dan tawakal kepada Allah SWT.
Yakinilah sesungguhnya perjuangan Islam dengan mengambil iktibar dari tarikh hijrah Nabi Muhammad s.a.w.
Hijrah yang membawa erti yang begitu besar kepada kita umat Islam keseluruhannya.
Setiap cabaran serta ujian sepanjang hijrah sebenarnya adalah untuk mengukuhkan keyakinan mereka-mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
Sekian.
'SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1428'
YB DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG Presiden PAS

No comments: