Maslan Yusoh Fri Jan 19, 07 07:16:17 AM
KOTA BHARU, 19 Jan (Hrkh) – Kesungguhan kerajaan Kelantan membantu mangsa-mangsa banjir di Johor tidak terhenti setakat menyalur sumbangan RM1 juta sahaja, malah hari ini lebih 100 sukarelawannya bertolak ke negeri terbabit.
Mereka menaiki 30 kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori yang dikenali sebagai Misi Bantuan Banjir Briged Kebajikan Perdana Kerajaan Negeri Kelantan.
Misi tersebut diketuai Ketua Briged Perdana Kelantan, Yuganu Yunus dilepaskan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di JKR 10 pagi tadi.
Selain mendapat kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat misi itu turut disertai 12 badan bukan kerajaan termasuk Pupuk Nilai Murni Bhd, Gabungan Kelab 4 x 4 Kelantan.
Kelab Sahabat Penyayang Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan Intelek dan Graduan Kelantan, Pandu Puteri dan Nisa’ Negeri Kelantan. Turut serta tiga doktor dan lima pembantu perubatan daripada Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia.
Yuganu berkata, mereka akan berada di Kota Tinggi dengan menumpukan aktiviti membantu penduduk melalui gotong royong, perkhidmatan kesihatan dan penyediaan makanan.
“Kami juga mendapat kerjasama daripada Kementerian Penerangan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sepanjang berada di sana kita mengikut jadual ditetapkan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Menurutnya juga sepanjang berada di Kota Tinggi sukarelawan akan tidur di dalam khemah disediakan dalam kenderaan masing-masing.
Ketika banjir gelombang pertama melanda Johor sebelum ini kerajaan negeri menghantar dua kumpulan sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
Badan Perhubungan PAS Kelantan juga turut menyalurkan bantuan sebanyak RM49,000 dan makanan yang dihantar menggunakan lori.
Sementara itu, Menteri Besar melahirkan sokongan penuh terhadap usaha dilakukan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor kerana mereka berdepan dengan kesusahan.
Katanya, adalah menjadi kewajiban untuk membantu mereka yang ditimpa kesusahan.
“Rakyat Kelantan mempunyai pengalaman berdepan dengan banjir kerana sebelum ini mereka sering mengalaminya. Kita boleh rasai apa yang dialami rakyat Johor sekarang.
“Biar pun berlainan fahaman politik ia tidak akan menghalang usaha dilakukan kerana semua manusia adalah berasal daripada Nabi Adam,” ujarnya.
Kenderaan misi bantuan itu dilengkap dengan bendera dan pelekat yang berlatarbelakang bendera Kelantan dan wajah Menteri Besar.
Tanpa menghiraukan hujan renyai-renyai Tuan Guru Nik Abdul Aziz melepaskan setiap kenderaan tersebut yang turut disaksikan anggota Exco, Dato’ Husam Musa dan pegawai kerajaan negeri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment