Monday, January 22, 2007

Ribuan rakyat Kelantan solat hajat selamatkan Johor

KOTA BHARU, 22 Jan Ribuan rakyat Kelantan menunaikan solat hajat malam tadi bagi memohon kepada Allah Taala diselamatkan rakyat Johor daripada bencana banjir yang berlaku di negeri terbabit. Solat hajat itu diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Dato? Nik Abdul Aziz Nik Mat, diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV selepas solat Isya. Sebelum itu Adun Demit, Ustaz Mohamed Daud mengimami solat Isya berjemaah. Pada sebelah siang bermula jam 10 pagi diadakan jamuan minum teh bagi memungut derma untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Johor. Pada program pungutan derma yang diadakan selepas solat hajat sebanyak RM126,000 berjaya dikumpulkan. Menteri Besar menerima sumbangan itu. Antara yang turut menyumbang iaitu Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebanyak RM50,000 dan anggota Exco kerajaan negeri Dato' Anuar Tan Abdullah dan Ustaz Mohd Amar Abdullah masing-masing RM5,000. Lebih mengejutkan apabila peniaga Cina antaranya Tan Boon Hin menyumbang RM10,000, Chen Siang Chua (RM10,000), Chen Siang Kia (RM5,000) dan Chua Bin Sin (RM5,000) manakala Syarikat Liziz Sendeco (RM10,000). Badan Perhubungan PAS Kelantan menyumbang sebanyak RM10,000 dan Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa (RM5,000) dan Dewan Pemuda PAS Kota Bharu (RM1,000). Hadir sama pada program itu anggota-anggota Exco, Dato? Husam Musa, Takiyuddin Hassan, wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai kaum. Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, semua pihak perlu tampil bagi membantu orang yang susah lebih-lebih lagi ditimpa bencana tanpa mengira fahaman kaum dan politik. "Sebagaimana juga berlaku tsunami di Aceh, kita bantu dan hantar sukarelawan bagi membantu orang Islam yang terlibat dengan bencana," katanya sambil mengingatkan umat Islam tidak bercakap angkuh dan sombong. Minggu lalu kerajaan Kelantan menyumbang sebanyak RM1 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor yang diagih melalui Yayasan Amal Malaysia. Selain itu Badan Perhubungan PAS Kelantan pernah menyumbang sebanyak RM49,000 dan beras lima tan ketika banjir pusingan pertama berlaku.

No comments: