Wednesday, January 17, 2007

Boikot pilihan raya bertujuan pulihkan demokrasi - BA

Basiron Abdul Wahab Thu Jan 18, 07 05:15:17 AM
RAUB 18 Jan (Hrkh) – Pemimpin Barisan Alternatif (PAS dan Keadilan) mengakui keputusan memboikot pilihan raya khususnya dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Talam bukanlah perkara mudah.
Ini kerana asas penubuhan sesebuah parti politik adalah untuk menyertai proses demokrasi iaitu menyertai pilihan raya.
Perkara itu diakui oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chu, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Mohd Azmin Ali, Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Paduka Ibrahim Ali dan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasruddin Mat Isa di hadapan lebih 4,000 penyokong Barisan Alternatif (BA), di Raub sempena pelancaran Kempen Bokot Pilihan Raya sembilan jam sebelum penamaan calon Dun Batu Talam, kelmarin.
Menurut Tian Chua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar memberi keadilan kepada parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya dengan menyediakan sistem pilihan raya yang bersih.
Katanya pilihan raya di Malaysia sudah menjadi suatu perniagaan yang menguntungkan melalui kewujudan projek-projek segera yang diwujudkan serta merta apabila berlakunya pilihan raya kecil.
Bagi bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato’ Paduka Ibrahim Ali berdasarkan pengalamannya bertanding dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir tahun lalu, adalah wajar BA memboikot pilihan raya kecil Batu Talam.
Beliau memuji keberanian BA membuat keputusan yang sangat besar iaitu memboikot pilihan raya kecil Dun Batu Talam pada 28 Januari ini.
Katanya, pemimpin BA tidak perlu merasa bimbang dengan keputusan yang mereka buat kerana pilihan raya kecil ini akan dijadikan medan oleh BN untuk memulihkan kedudukan Perdana Menteri yang tercalar selepas menang dengan undi Pos di Pengkalan Pasir.
Katanya lagi, para pemimpin BA juga tidak wajar berasa dukacita dengan pemboikotan ini sebaliknya memberi tumpuan terhadap isu lain.
Sementara itu Naib Presiden PAS, Haji Mohamd Sabu dalam ucapanya berkata PAS tetap tidak mengubah dasarnya mengambil pendekatan ‘aman’ bukan pendekatan militin dalam usaha untuk menegakkan negara Islam.
Menurutnya pendekatan yang diambil adalah suatu usaha untuk melihat demokrasi terus subur di negara ini daripada terus dipermainkan oleh pihak tertentu.
“Pembokotan pilihan raya ini menunjukkan rakyat mahu melihat perubahan dalam demokrasi di negara ini,” katanya.
Timbalan presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa berkata, BA menuntut satu pilihan raya bersih khususnya dalam pilihan raya kecil Dun Batu Talam.
Menurut Ustaz Nasaruddin kempen boikot pilihan raya ini akan terus diadakan sehingga menjelang pilihan raya umum dan sepanjang tempoh itu pihaknya akan mengadakan seminar, pertemuan, mengedarkan poster, risalah dan sebagainya bagi menyedarkan orang ramai tentang pilihan raya bersih dan adil.
Katanya satu perhimpunan rakyat secara besar-besaran juga akan diadakan untuk menyampaikan mesej kepada pihak berkuasa. - mns

No comments: