Wednesday, January 3, 2007

PAS yakin kurangkan majoriti BN di Batu Talam

Salmah Mat Husain Wed Jan 03, 07 12:21:21 PM
KOTA BHARU, 3 Jan (Hrkh) - PAS yakin akan dapat mengurangkan jumlah majoriti calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dun Batu Talam yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Naib Presidennya, Dato’ Husam Musa berkata, pihaknya yakin majoriti kemenangan calon BN dalam pilihan raya kecil itu akan berkurangan berikutan isu semasa yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
“PAS akan meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil itu memandangkan ia merupakan kerusi tradisi sejak pilihan raya umum 1999 dan 2004.
“Bagaimanapun ianya terpulang kepada keputusan pimpinan PAS Pusat sendiri untuk menentukan berhubung perkara itu,” ujarnya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Tambahnya rakyat harus menimbang semula sokongan terhadap calon parti BN pada pilihan raya itu nanti berdasarkan pelbagai isu rakyat yang menyusahkan mereka sekarang.
Tegasnya, kenaikkan harga minyak, gas memasak, elektrik dan terbaru tol hendaklah difikirkan semula.
“Mungkin kerajaan BN memandang remeh isu berkenaan memandangkan rakyat sebelum ini tetap menyokong mereka walau apa pun yang kerajaan lakukan,” ujarnya.
Ditanya adakah perlu PAS meletakkan calonnya sedangkan tahun ini juga dijangka akan diadakan pilihan raya umum, beliau berkata, pilihan raya tersebut boleh dianggap sebagai medan latihan.
“Sebagai contohnya banjir besar yang berlaku di Johor baru-baru ini pasukan tentera hanya menghantar 200 anggota sahaja berbanding Persatuan Bulan Sabit Merah 3,000 petugas. Ini berlaku kerana adanya latihan serta perancangan awal pihak PBSM,” katanya.
Pilihan raya kecil kawasan itu dijangka diadakan berikutan kematian Adunnya, Dato’ Tengku Paris Tengku Razlan, 66 akibat penyakit paru-paru dan usus baru-baru ini.
Pada pilihan raya umum 2004, calon PAS, Dr Mohamed Nilam Abdul Manaf tewas kepada calon BN dengan kekurangan 2,761 undi.
PAS yakin kurangkan majoriti BN di Batu Talam


No comments: