Abu Bakar Rahman Mon Jan 15, 07 09:39:06 PM
RAUB, 16 Jan (Hrkh) - Kemerosotan demokrasi di negara ini lengkap apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambilalih pemerintahan.
Berucap kepada kira-kira 10,000 rakyat dalam perhimpunan melancarkan kempen kempen mobilisasi rakyat memboikot pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam serta menuntut proses pilihanraya yang bersih, telus, adil dan saksama di sini malam tadi, Naib Presiden PAS Haji Mohamad Sabu berkata, demokrasi di Malaysia merosot dari satu Perdana Menteri ke satu Perdana Menteri yang lain.
"Kemerosotan demokrasi complete (lengkap) bila Abdullah mengambilalih pemerintahan dan menjadi Menteri (Keselamatan) Dalam Negeri," katanya.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digunakan untuk mengalahkan pembangkang.
"SPR kalahkan Barisan Alternatif (BA) dua kali di Selangor, iaitu dalam pilihan raya 1999 dan pilihanraya 2004," katanya.
Dalam pilihan raya 2004, katanya, lebih 200,000 orang tidak dapat mencari tempat mengundi akibat perbuatan SPR.
"SPR juga yang mengalahkan PAS dan BA di Terengganu. Sepatutnya pertambahan pengundi dalam daftar pemilih hanya sekitar empat hingga lima peratus sahaja. Itu kebiasaannya. Tetapi pertambahan pengundi dalam daftar pemilih di Terengganu meningkat hingga 17 peratus. Dari mana datangnya ini semua?" beliau mempersoalkan.
Bagi mengatasi kesemua itu, beliau menjelaskan, pembangkang bukan hanya mengkritik malah mencadangkan supaya dibersihkan daftar pemilih serta mereka yang berumur 21 tahun ke atas didaftarkan secara otomatik dalam daftar pemilih, dihapuskan undi pos dan digunakan sistem celup jari selepas mengundi.
"Tetapi satu pun SPR tak pandang malah mempermain-mainkan cadangan kita," beliau mendedahkan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berdolak-dalik untuk menerima sistem celup jari malah menyifatkannnya ketinggalan zaman, kata Mohamad Sabu.
"Tetapi dia tidak kemuka apa yang sesuai dengan zaman ini," katanya lagi.
Manakala cadangan pembangkang mengenai pembersihan daftar pemilih dan penghapusan undi pos, kata beliau, langsung tidak dipeduli dan didiamkan begitu sahaja oleh SPR.
Mohamad Sabu menyifatkan dakwaan Abdul Rashid terhadap cadangan pembangkang itu sebagai angkuh.
Malah, dengan mengaitkan dua jawapan berbeza Abdul Rashid kepada DAP dan PAS mengenai sistem celup jari, beliau menyifatkan Pengerusi SPR itu penipu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment