Saari Sungib Fri Jan 19, 07 07:27:35 AM
Lawatan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat pada 18 Januari lalu untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Johor menyaksikan amalan diskriminasi politik Umno di sana.
Pasukan tersebut sempat melawat pusat penempatan banjir di Seri Tanjung, Sri Gading. Pusat tersebut menempatkan 22 buah keluarga dengan jumlah seramai 134 orang yang terdiri dari 77 lelaki dan 57 perempuan.
28 orang di kalangan mereka adalah pelajar yang tidak dapat ke sekolah kerana sekolah ditutup.
Pusat tersebut dikendalikan sendiri oleh penduduk. Mereka ditempatkan di sebelas buah khemah yang dipasang teratur dengan musolla terletak di pintu masuk kawasan. Pusat pentadbirannya dilengkapi dengan komputer dan mesin pencetak. Sebuah generator berfungsi 24 jam setiap hari bagi membekalkan elektrik yang telah dipotong di kawasan tersebut.
Penempatan mereka di situ adalah bagi kali kedua setelah banjir pusingan kedua melanda kawasan mereka.
Apa yang anehnya semasa banjir pusingan pertama dahulu mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bantuan tersebut adalah dalam bentuk makanan kering, makanan basah dan barang-barang keperluan lain. Bahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membina tiga buah tandas sementara yang dibuat kemas dan teratur untuk mereka.
Namun bagi banjir pusingan kedua, semua bantuan ini tiba-tiba tidak datang lagi. Setiausaha jawatankuasa pengurusan pusat tersebut, Zainal Abidin Jalil memberitahu bahawa pihaknya telah membuat permohonan kepada beberapa agensi yang bertanggungjawab. Semua permohonan tersebut ditolak atas alasan pusat tersebut bukan pusat penempatan rasmi!.
Pusat haram
Ada pegawai yang bila dihubungi menegaskan bahawa pusat tersebut adalah "pusat haram"!. Sikap pegawai tersebut amat melukakan hati mangsa banjir, kata Zainal Abidin.
Setelah berusaha berkali-kali, akhirnya Zainal Abidin menghubungi terus Exco Negeri Johor, Robiah Kosai untuk mendapatkan bantuan. Robiah menjawab: "You mesti pindah.. kalau you pindah, berapa banyak lori bantuan pun kami boleh hantar".
Menurut Zainal Abidin, kenyataan Robiah itu seperti satu ugutan. Kenyataan tersebut juga membuktikan bantuan memang ada. Hanya ia tidak disalurkan kepada mereka semata-mata kerana mereka tidak mahu berpindah.
Kata Zainal Abidin lagi: "Persoalan keselamatan selalu dijadikan alasan kenapa kami perlu pindah. Sedangkan kawasan kami adalah kawasan yang paling selamat. Kedudukannya tinggi dan air tidak sampai ke sini. Pusat penempatan yang disuruh kami pindah itu sebaliknya berada di kawasan yang dikelilingi air".
Beliau menegaskan lagi: "Alasan keselamatan sentiasa digunakan. Ada pula yang mengatakan tempat kami tidak selamat kerana nanti ada penduduk yang dipatuk ular. Soalan air naik, soalan banjir sudah tidak timbul".
Bila ditanya kenapa pada pusingan pertama dahulu mereka mendapat bantuan, Zainal Abidin menjawab: "Pada masa itu semua orang tidak bersedia. Kali kedua lebih bersedia. Banyak pusat telah dikawal oleh orang-orang politik".
Walaupun Zainal Abidin tidak menyebut parti politik mana yang mengawal pusat-pusat penempatan mangsa banjir, semua tahu bahawa parti itu adalah Umno.
Tidak dibenarkan masuk
Pasukan daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat juga tidak dibenarkan masuk ke Sekolah Agama Kg. Sengkuang yang dijadikan pusat pemindahan mangsa-mangsa banjir. Pusat tersebut dikawal oleh ketua cawangan Umno di situ.
Menurut penduduk-penduduk yang ditemui, ketika banjir pusingan pertama dahulu mangsa-mangsa banjir di Seri Tanjung dan Sekolah Agama Kg. Sengkuang sama-sama mendapat bantuan daripada agensi-agensi berwajib. Semua bantuan yang dihantar adalah bagi mangsa-mangsa di kedua-dua pusat penempatan tersebut.
Tetapi pada banjir pusingan kedua, apabila mereka pergi ke Sekolah Agama Kg. Sengkuang, mereka diberitahu bahawa bantuan yang dihantar itu hanyalah untuk penduduk Kg. Sengkuang sahaja!.
Menurut seorang penduduk: "Dulu masa Hari Raya Haji, seekor lembu korban dibahagi dua antara Seri Tanjung dengan Kg. Sengkuang.. tapi hari ini, satu bantuan pun kami tidak terima lagi".
Setelah sejam anggota Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat berada di situ, tiba-tiba sebuah lori tentera datang. Turun daripada trak tersebut adalah beberapa orang pegawai daripada Jabatan Kesihatan yang membawa ubat-ubatan dan bersedia untuk memberikan khidmat kesihatan kepada penduduk.
Berkesan sungguh lawatan pasukan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat yang dibantu oleh PAS Kawasan Sri Gading kerana hanya dengan datang menggunakan dua pick-up truck, Umno telah respons dengan menghantar bantuan kilat menggunakan sebuah lori tentera yang begitu besar!. - mns
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment