Harakahdaily Wed Jan 10, 07 05:00:08 PM
RAUB, 11 Jan (Hrkh) - PAS dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) mengumumkan untuk memboikot pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam yang dijadualkan berlangsung 28 Jan ini.
Pengumuman pemboikotan itu dibacakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam satu majlis ceramah di Markas PAS Sega di sini malam tadi.
Menurut Nasharudin kepincangan yang berlaku termasuk daftar pemilih yang tidak tepat dan diragui, penyalahgunaan undi pos yang menjadikan pilihan raya tidak telus dan prejudis membuatkan Barisan Alternatif mengambil keputusan untuk memulaukan pilihan raya kecil tersebut.
Majlis yang dihadiri lebih 2,000 orang penyokong PAS dan KeADILan itu turut disertai Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Kerusi Batu Talam kosong berikutan kematian Adun Barisan Nasional (BN) Dato' Tengku Paris Tengku Razlan, 65, pada 27 Disember lalu.
Berikut adalah teks perisytiharan tersebut:
PEMBOIKOTAN PENGLIBATAN DALAM PILIHAN RAYA KECIL DUN O6 BATU TALAM
Pilihan raya bersih dan bebas merupakan satu asas utama dalam sebuah demokrasi yang sihat dan wibawa. Sistem pilihan raya adalah mekanisme penting untuk memberikan keabsahan dan mandat kepada kerajaan yang memerintah.
Kebebasan ini memberi ruang kepada pengundi untuk menunaikan hak asasi mereka dalam proses politik bagi menentukan calon-calon mereka dalam memilih kerajaan yang mereka kehendakki.
Berpandukan kepada pengalaman pahit dalam beberapa pilihan raya yang lalu dan khasnya Pilihan raya Umum ke-11, sesungguhnya kami meyakini bahawa pilihan raya yang telah dijalankan adalah sarat dengan penipuan, penyelewengan dan pembohongan yang sekali gus menjejaskan kredibiliti dan maruah kerajaan yang memerintah.
Serentak dengan itu, rakyat semakin resah dan bosan dengan ketempangan dan kecurangan proses demokrasi ini, yang kini dilihat adalah jauh dari memberikan keadilan dan persaingan serta pertandingan di padang yang sama-rata.
Kami senaraikan antara kepincangan dan ketempangan yang berlaku:
Daftar Pemilih yang tidak tepat dan diragui.
Pengundi Pos yang sering disalahgunakan bagi kepentingan kerajaan BN.
Proses penjalanan pilihanraya yang tidak telus, prejudis dan bersifat berat-sebelah.
Sikap dan pendirian Pengerusi SPR yang tidak konsisten dan memihak kepada kerajaan BN.
Tindakan SPR dalam pengendalian persempadanan yang tidak mengikut semangat dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bersifat tidak adil.
Sikap SPR yang rela diperkudakan oleh parti pemerintah sehingga menjejaskan maruah dan wibawa SPR sebagai Suruhanjaya bebas yang seharusnya memelihara proses pilihanraya.
Berlatarbelakangkan kesemua faktor yang digariskan di atas, maka kami meyakini pilihan raya kecil DUN 06 Batu Talam akan menyaksikan berulangnya penyelewengan yang merosakkan kesucian (sanctity) proses demokrasi. Kenyataan Pengerusi SPR yang menyebut bahawa daftar pemilih yang telah diwartakan pada 30 November 2006, berjumlah 10,748 telah dibersihkan menjadi 10,524 selepas daripada perwartaan itu kini menimbulkan kecurigaan.
Proses pembersihan tersebut tidak boleh dikatakan telah dijalankan secara telus kerana ianya dilakukan secara unilateral oleh SPR tanpa penyertaan parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya.
Segala kecurigaan kami telah disahkan melalui kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR yang mengatakan baru-baru ini bahawa ”undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan sosial yang telah berubah”.
Dengan ini, kami pimpinan BA, menegaskan pendirian untuk menolak dan memboikot penyertaan dalam pilihanraya kecil bagi DUN 06 Batu Talam.
Presiden Parti Islam SeMalaysia,Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang,
Presiden Parti Keadilan RakyatDatin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
(Dapatkan berita selanjutnya dan gambar pengisytiharaan tersebut pada keluaran Harakah terbitan akan datang : 12 Januari 2006)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment