Abu Bakar Rahman Sun Jan 14, 07 01:25:46 PM
KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh) -PAS mengulangi penegasan tidak akan menaja, menyokong atau merestui calon bebas dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam dan mengingatkan rakyat tentang kemungkinan pihak tertentu menaja calon bebas di dalam pilihan raya itu dan menuduh PAS melakukannya.
Malah, pada sebelah malam Isnin 15 Januari ini, PAS akan melancarkan kempen mobilisasi rakyat memboikot pilihanraya berkenaan serta menuntut proses pilihanraya yang bersih, telus, adil dan saksama, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar.
"Pelancaran kempen mobilisasi itu akan diadakan di Batu Talam sendiri dan oleh itu PAS mengulangi penegasan menolak sebarang kemungkinan akan menyokong, merestui jauh lagi menaja calon bebas di dalam pilihanraya kecil itu," jelas beliau.
Selepas itu, katanya, kempen itu akan diadakan ke seluruh negara dan gerakan menuntut pilihanraya yang bersih, telus, adil dan saksama akan digerakkan sehinga tuntutan-tuntutan yang dikemukakan tercapai.
"Walaupun kita yakin tidak berlaku, tetapi jika didapati ada mana-mana individu yang mempunyai keahlian di dalam PAS menjadi calon bebas dalam pilihanraya kecil Batu Talam itu, beliau akan dipecat dari PAS," tegas beliau.
Mahfuz mengingatkan mana-mana pihak yang hendak menaja calon bebas di dalam pilihanraya kecil itu dan kemudiannya menuduh PAS yang melakukan perkara itu supaya melupakan politik lekeh dan murahan mereka.
Beliau juga menyatakan rasa hairannya dengan para pemimpin Umno yang kelihatan "sewel" kerana jelas begitu marah terhadap keengganan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai pilihanraya kecil itu.
"Para pemimpin Umno semakin hari semakin ganjil dan kelihatan sewel. Sepatutnya mereka suka kerana PAS dan PKR memberi laluan percuma pepada mereka atas apa alasan sekalipun.
"Sepatutnya mereka gembira dan tidak marah-marah kerana kita tidak mahu lawan mereka. Rupa-rupanya ada juga di dalam dunia ini orang yang marah kerana kita tidak mahu cabar dan lawan mereka. Mungkin ini satu lagi rekod hebat Umno," kata Mahfuz.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment