Salman Hussin Fri Feb 02, 07 06:50:57 AM
KOTA TINGGI, 2 Feb (Hrkh) – Seorang ibu tunggal Khadijah Taib, 54, dari Jalan Abdullah, dekat sini, terkilan dengan layanan acuh tak acuh kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Tinggi, ketika beliau datang ke pejabat berkenaan bagi mendapatkan kupon bekalan makanan, baru-baru ini.
Beliau yang sudah empat hari turun naik pejabat JKM bagi mendapatkan bekalan makanan serta wang ihsan yang dijanjikan kerajaan merasa sangat kecewa dengan sikap kakitangan jabatan berkenaan yang sentiasa berdolak dalik serta cuba menolak daripada berurusan dengan beliau atas alasan terlalu sibuk, katanya semasa ditemui di sini.
Kata lagi,“makcik datang ke pejabat JKM bagi mendapatkan kupon bantuan makanan untuk tempoh sebulan dan wang ihsan RM200 yang dijanjikan kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir tetapi kakitangan JKM langsung tak layan makcik sedangkan makcik pun mangsa banjir yang layak menerima bantuan ini.
“Setelah makcik merayu-rayu mereka menyuruh pula makcik pergi ke pusat pengagihan bekalan makanan di Kampung Makam, malangnya bila sampai di sana makcik diberitahu kalau tiada kupon tidak akan diberi bantuan makanan, sekali lagi makcik pulang dengan perasaan sedih dan hampa.
“Makcik amat mengharapkan bantuan ini kerana tiada sumber pendapatan lain setelah kedai kain makcik dua kali ditenggelami air, semua kain reput dan tak boleh dijual lagi.
Menurutnya lagi, semasa banjir pertama 19 Disember lalu kedai kain yang diusahakannya sejak lapan tahun lalu di Bandar Kota Tinggi telah ditenggelami air dan semuanya musnah, dengan sedikit wang simpanan yang ada beliau cuba memulakan semula perniagaan tetapi malang sekali lagi menimpa apabila kain-kain yang masih dalam bungkusan plastik musnah setelah dilanda banjir kali kedua pada 12 Januari lalu, beliau kerugian lebih RM80,000.
“Sekarang ini makcik langsung tiada modal untuk berniaga semula, malah untuk makan pun begitu susah sekali sebab itu makcik amat mengharapkan bantuan ini.
YDP PAS Kota Tinggi, Haji Kamaldin Haji Tahir, ketika ditemui melahirkan kekesalannya terhadap sikap tidak profesional kakitangan JKM menangani masalah mangsa banjir ini.
“Kita merasa sangat kecewa dengan sikap kakitangan JKM yang tidak peka dengan masalah mangsa banjir ini, kita semua sedia maklum sebahagian mangsa banjir ini selain kehilangan harta benda mereka juga kehilangan sumber pendapatan maka JKM perlu membantu mereka bagi meringankan sedikit penderitaan yang mereka alami.
Menurutnya lagi, “sebenarnya banyak aduan kita terima daripada mangsa-mangsa banjir ini, selain tidak mendapat bekalan makanan yang dijanjikan, pengagihan wang ihsan RM200 juga menimbulkan kekeliruan apabila ada antara mangsa yang sudah dapat dan ada pula yang belum.
Menurut sumber JKM jelasnya lagi, proses pemberian bantuan makanan dan wang ihsan yang menimbulkan berbagai kontroversi ini adalah untuk mangsa yang terlibat dengan banjir besar yang melanda Johor 19 Disember lalu manakala peruntukan tambahan sebanyak RM500 yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, tempohari, masih belum diproses lagi, bahkan sumber JKM turut memberitahu bahawa mereka masih belum menerima sebarang maklumat berhubung pemberian dana tambahan ini.
“Kita juga difahamkan JKM hanya mampu memproses sekitar 200 borang permohonan mangsa banjir dalam masa sehari sedangkan di Kota Tinggi sahaja dianggarkan terdapat lebih 10,000 mangsa yang terlibat dengan banjir, inilah yang menyebabkan penyaluran bantuan kepada mangsa begitu lambat.
Selain itu katanya lagi, sikap sesetengah mangsa banjir yang mencari kesempatan juga turut menyumbang kepada kelewatan ini, terdapat segelintir mangsa banjir yang mendaftar di dua pusat pendaftaran dengan menggunakan nombor kad pengenalan lama dan baru, bagaimanapun semakan yang dilakukan pihak JKM telah berjaya mengesan perbuatan tidak bertanggungjawab ini.
Bagaimanapun jelasnya lagi, mangsa banjir ini amat memerlukan bantuan makanan mahupun wang ihsan ini, justeru kerana itu kita meminta JKM segera memberikan bantuan ini supaya mangsa banjir ini tidak terus tertekan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir yang ditemui, Osman Isnin, memberitahu, setiap hari mangsa banjir di pusat penempatan dihidangkan dengan air teh ‘o’ atau nescaffe ‘o’ sahaja, tanpa susu, sedangkan setiap kali bekalan dihantar kita melihat berkotak-kotak susu pekat diturunkan dari lori, ke mana perginya susu ini.
Selain itu dedahnya lagi, pengagihan kain batek dan telekung juga dibuat secara tidak adil, ada yang dapat dan ada yang tak dapat, bila perkara ini diajukan kepada kakitangan yang bertugas di pusat penempatan ini, jawapan mereka mudah ‘sudah habis’.
Beliau juga turut keliru dengan cara pengagihan bantuan makanan untuk sebulan yang diberi kepada mangsa banjir, menurutnya, bantuan makanan yang dibuat secara ‘lumpsump’ tanpa mengira jumlah isi keluarga adalah tidak praktikal kerana ini akan menimbulkan ketidakadilan.
Menurutnya lagi, setiap keluarga diberi empat kampit beras (20 kg), ikan sardin (25 tin), minyak masak (5 kg), gula (4 kg), kicap 1 botol (2 kg), susu pekat (4 tin), baldi dan mob serta rempah masakan.
“Mungkin untuk keluarga seramai tiga orang jumlah ini dikira memadai tetapi bagaimana pula jika sekiranya jumlah isi keluarga yang lebih ramai, sudah tentu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment