Maslan Yusoh Tue Jan 23, 07 11:14:55 AM
KOTA BHARU, 23 Jan (Hrkh) - Kejayaan dalam bidang dakwah jelas mempunyai kaitan rapat dengan politik seperti dialami umat Islam di zaman awal kebangkitannya sehingga terpaksa berhijrah dari Makkah ke Madinah.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, umat Islam disekat bergiat dalam bidang agama, sekaligus menghalang bergerak dalam bidang politik. Kata beliau, keadaan itu berlaku memandangkan Islam tidak memisahkan agama dengan politik.
“Ini bererti agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Kepada orang yang mengatakan politik dan agama boleh dipisahkan serupalah kita mengajar anak hidup di atas dunia tanpa memerlukan undang-undang,” ujarnya.
Menurutnya juga hijrah telah membawa satu perubahan sosial yang besar di mana sewaktu di Makkah masyarakat Arab hidup berpuak-puak dan menular birokrasi sehingga wujud dua golongan iaitu bangsawan dan rakyat biasa.
“Hijrah bererti berpindah tempat, meninggalkan kampung halaman, meninggalkan harta benda dan keluarga kerana mempertahankan aqidah yang diperjuangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
“Hijrah mengajar kita bersifat jati diri supaya tidak mudah tunduk atau menyerah kalah kepada ugutan atau tekanan pihak lawan,” katanya pada sambutan Hijratul Rasul 1428 Peringkat Negeri Kelantan di Balai Islam, baru-baru ini.
Perasmian sambutan itu disempurnakan Sultan Kelantan. Hadir sama Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, anakanda baginda, Tengku Amalin Aishah Puteri, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob.
Speaker Dun Kelantan, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri Alias, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan.
Menteri Besar juga berkata, perayaan dalam agama dirayakan secara khusus di Kelantan antaranya Hijratul Rasul, Mauludul Rasul, Nuzul al Quran, Israq Miraj, Bulan Sembahyang dan Wukuf di Padang Arafah.
Katanya, perayaan itu diadakan sebagai satu strategi bagi menarik perhatian masyarakat supaya sentiasa menghayati dan berpegang teguh dengan aqidah serta syariat Islam secara menyeluruh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment