Sunday, January 21, 2007

Boikot : Apakah Misi Melihat SPR Kembali Adil Dan Telus Tercapai

Oleh : cucumatkilau
Al-kisah, tinggal beberapa hari sahaja lagi Pilihanraya Kecil Batu Talam akan diadakan. Maka gembiralah para penduduk dan pengundi di situ. Dari sebuah nama yang cukup digeruni oleh dunia satu ketika dulu, akibat pembunuhan ngeri DUN itu iaitu Datuk Mazlan Idris. Kini Batu Talam pastinya terpalit dalam ingatan kita. Bukan kerana kisah Mona Fendy dalam isu kerat 18. Tetapi kerana pilihanraya kecil yang sungguh melucukan dan memalukan dalam sejarah. Ini kerana pertama kali berlaku, sejak dulu kini dan selamanya pakatan parti pembangkang memboikot pilihanraya kecil. Pihak yang turut menjadi perhatian sekarang ini sudah pastilah Suruhanjaya Pilihan Raya, yang dilihat lebih cenderong memihak kepada parti kerajaan dalam menentukan hala tujunya.
Namun, sayang seribu kali sayang semuanya ini telah tersurat. Apapun perkataan dan cadangan yang dibuat oleh kita yang mahukan sebuah sistem demokrasi yang adil dan telus kini terus terpinggir. Parti pembangkang di negara ini seolah-olah bukannya sebuah pertubuhan yang berdaftar dimata SPR. Hak sama rata yang perlu dinikmati sememangnya tiada termaktub dalam perlembagaan SPR. Bagi mereka, selagi imbuhan mereka dibayar oleh kerajaan yang memerintah maka selagi itulah mereka perlu tunduk kepada arahan parti memerintah.
Dalam keadaan ini, bagi memastikan satu pilihanraya yang benar-benar adil dan telus. Sesuatu perlu dilakukan dari sekarang. Ini bagi memastikan Pilihanraya Umum akan datang tidak terus dicemari dengan taktik-taktik kotor yang direncanakan oleh UMNO/BN dan SPR. SPR kini sememangnya dilihat sudah menjadi alat BN atau dalam erti kata lain sudah menjadi salah sebuah parti komponen terkuat dalam pakatan itu.
Persoalan yang harus dijawab sekarang. Kepada siapakah kita harus mengadu? Suhakam ? Polis ? BPR? atau siapa? Kerana semua badan terbabit penerajunya adalah dilantik oleh kerajaan yang memerintah. Nah, sekarang siapa lagi tempat untuk kita mengadu tentang kepincangan yang berlaku dalam amalan demokrasi berpalimen di negera ini. Siapa lagi kalau bukan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong . Dalam perkara 55 , Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen.
Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong diperlukan oleh Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bermesyuarat dalam masa enam bulan antara persidangan yang akhir dalam satu penggal yang kemudiannya. Bahkan dalam hal ini juga jika dilihat kepada matlamat SPR sendiri jelas menunjukkan bahawa peranannya amat penting dalam memastikan kesinambungan kerajaan yang berwibawa untuk memerintah negara ini.
Seantero dunia mengetahui, negara kita Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen di samping mengekalkan sistem Raja Berperlembagaan, dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Di peringkat negeri pula, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri merupakan Pemerintah Berperlembagaan bagi negeri-negeri berkenaan.
Perlembagaan Malaysia dengan jelas membahagikan kuasa Persekutuan kepada tiga cabang, iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif. Pembahagian kuasa ini dibuat di peringkat pusat dan juga di peringkat negeri, selaras dengan konsep persekutuan yang menjadi asas pentadbiran kerajaan negara ini.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, tanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri terletak pada Suruhanjaya Pilihan Raya. Semasa menunaikan tanggungjawabnya, Suruhanjaya Pilihan Raya, selaku badan bebas, tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam mengendalikan pilihan raya.
Penubuhan Suruhanjaya Pilihan Raya yang dianggotai oleh seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan 5 orang Ahli terkandung di dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Anggota-anggota Suruhanjaya dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Pada melantik Ahli-ahli Suruhanjaya, Yang di-Pertuan Agong “hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam”.
Perkara ini jelas terkandung dalam akta tubuh SPR selama ini. Masalahnya mengapakah ini tidak dilaksanakan. Misalnya dalam fasal selaku badan bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak ketika melaksanakan pilihanraya. Apakah SPR bersikap demikian? Dan dalam fasal mustahak diadakan Suruhajaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam. Apakah kini SPR benar-benar mendapat kepercayaan awam? Jika tidak mengapakah "Bajingan-bajingan SPR" ini terus dikekalkan?
Dalam perlembagaan juga jelas kepada kita bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dipertanggung jawabkan untuk melantik anggota SPR setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja. Maka dengan alasan inilah, sudah tiba masanya kita sebagai rakyat yang cintakan demokrasi bangkit untuk mendesak Sultan Mizan Zainal Abidin selaku Yang Di-Pertuan Agong penggal ini untuk membenarkan satu Suruhanjaya DiRaja bagi menjalankan penyiasatan tentang perilaku SPR mutakhir ini.
Kita semua tahu, diantara ramai-ramai sultan yang memerintah, hanya Sultan Mizan sahaja dilihat antara yang mempunyai imej serta resputasi yang baik dan benar-benar berjiwa rakyat. Ini berdasarkan kepada sikap lemah lembut beliau, serta peribadi beliau yang tidak pernah mempunyai "skandal" dengan mana-mana pihak yang berkaitan.
Bahkan, umum juga mengetahui sepatutnya beliau terlebih dahulu naik menjadi Agong sebelum Sultan Perlis. Namun atas campurtangan kerajaan memerintah ketika itu, beliau hanya menjadi timbalan. Kononnya pihak terbabit takut beliau akan memberikan pengampunan diraja dalam kes Anwar Ibrahim. Maka kini, Sultan Mizan kembali berkuasa untuk penggal ini, maka kita ada tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun akan datang untuk terus menghantar memorendom bagi mendesak beliau mengambil tindakan dan membaik pulih SPR.
Tambahan pula, diera beliau sudah pasti kita akan melalui satu lagi pilihanraya umum tidak lama lagi. Seharusnya rakyat perlu bangun beramai-ramai bagi menyuarakan hasrat ini. Jika kita terus dipersendakan oleh SPR yang kononnya bersikap adil dan telus itu. Sampai bila pun kita akan terus "ditelan pahit dibuang sayang". Ertinya setiap kali pilihanraya umum akan datang kita akan melalui kepahitan ini. Jika nak terus dibuang, terasa amat rugi. Bagi pilihanraya kecil seperti Batu Talam, itu mungkin tidak meninggalkan kesan yang mendalam. Namun, jika pilihanraya umum kita boikot bukankah ianya terlalu sayang untuk kita melepaskan negeri Kelantan kembali ke tangan UMNO/BN. Nak tak nak kita harus menghadapi semua ini. Jika perjuangan tidak berakhir dengan kuasa, apalah erti pengorbanan sebenarnya.
Dizaman Rasullullah SAW dulu juga, dalam menyampaikan dakwah baginda akhirnya baginda sanggup berhijrah dan menjadikan kuasa di Madinah untuk melaksanakan perundangan Islam itu sendiri. Maka, jika kita hanya gembira dengan memboikot apalah guna kita berparti? Lebih baik PAS.PKR didaftarkan sahaja menjadi sebuah agensi badan Bukan Kerajaan (NGO).
Justeru itu, sebagai natijahnya kita harus bersatu hatu mengutarakan suara rakyat untuk membuka mata semua pihak tentang kebobrokan dan kepincangan SPR ini. Caranya itulah yang ingin dilaksanakan oleh Parti PAS sekarang iaitu menghantar memorendum kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Bagi kita sebenarnya, jika manusia itu dilahirkan dengan akal fikiran yang cukup, pasti mereka akan melihat sendiri kepincangan ini. Namun bagi mereka yang telah dibutakan mata, hati dan perasaan, biarlah apapun keadaannya mereka tetap mengatakan SPR adalah cekap dan telus.
Pokoknya, mana peginya motto lama SPR dulu iaitu "Cekap, Adil Dan Telus"? Lihat sendiri di laman web SPR http://www.spr.gov.my/ , kini yang tinggal hanyalah "Cekap Dan Telus". Bukankah ini jelas menunjukkan kepada kita yang SPR sendiri pun tidak berani bersikap "Adil" dalam mengendalikan pilihanraya di negara ini. Sama-samalah kita nantikan sinambungan daripada sinetron ini.

No comments: