Saturday, January 13, 2007

Arah Pemuda BN kekal di Batu Talam: Hishamuddin jilat ludah sendiri

Ahmad Tajdid Sun Jan 14, 07 04:15:29 AM
KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh) - Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bahawa Pemuda BN akan hanya dibawa ke Johor bagi membantu mangsa banjir jika tidak berlaku pertandingan dalam pilihan raya Dun Batu Talam membuktikan sikap sebenar Umno yang lebih mementingkan politik daripada kebajikan rakyat.
Pendirian Hishamuddin itu juga diumpamakan seperti 'menjilat ludah sendiri' kerana beliau dan beberapa pemimpin kanan Umno pernah mendakwa kononnya PAS tidak prihatin dengan nasib rakyat kerana mengadakan perhimpunan Pemuda PAS di KOta Bahru di saat negeri-negeri selatan tanah air dilanda banjir, bulan lalu.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Sallahuddin Ayub ketika dihubungi kesal dengan sikap tidak bertanggung jawab Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Semberong kerana lebih mengutamakan pilihan raya kecil Batu Talam, Pahang daripada rakyat yang diwakilinya yang kini menghadapi kesulitan dan penderitaan akibat banjir.
"Apakah yang dapat Hishamuddin dan Pemuda Umno buktikan di Batu Talam selain daripada keserekahan untuk mendapatkan kuasa sedangkan rakyat Johor yang perlukan bantuan wakil rakyat mereka menderita kerana sikap tidak acuh para pemimpin Umno dan BN," katanya.
Sallahuddin juga menggesa Ahli-ahli Parlimen BN termasuk Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut sibuk membantu persiapan kempen Umno di Batu Talam supaya menginsafi tugas hakiki mereka memberi perkhidmatan kepada rakyat daripada leka dengan congakan sama ada parti pembangkang akan meletakkan calon di Batu Talam.
"Janganlah terlalu tamak dan gilakan kuasa sehingga tidak dapat membezakan keutamaan antara pilihan raya kecil dengan bencana besar yang menimpa negara dan rakyat," kata Salahuddin. Hishamuddin yang juga Pengerusi Pemuda BN ketika ditemui pemberita, sangsi parti pembangkang akan memberikan kemenangan mudah kepada BN pada pilihan raya kecil Batu Talam yang dijadualkan pada 28 Jan ini.
Dalam kenyataannya yang dipetik Bernama, Hishamuddin mendakwa tidak mustahil parti pembangkang akan meletakkan calon bebas bagi bertanding pada pilihan raya kecil itu bagi menentang calon BN.
Hishammuddin berkata, Pemuda BN telah mengambil pendirian bahawa persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya kecil Batu Talam diteruskan seperti biasa sekalipun pembangkang telah mengambil keputusan memboikot pilihan raya tersebut.
"Selepas hari penamaan calon pada 16 Januari ini, dan tidak berlaku pertandingan, (barulah) semua jentera Pemuda BN akan dibawa ke Johor," kenyataan Hishamuddin dipetik.
Gelombang kedua banjir mula melanda Johor mulai Jumaat lalu mengakibatkan lebih 90,000 penduduk dipindahkan ke 273 pusat penempatan di semua lapan daerah.
Daerah Semberong yang diwakili Hishamuddin adalah antara kawasan yang teruk dilanda banjir. tajdid

No comments: