Abu Bakar Rahman Sat Jan 20, 07 09:43:06 AM
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Hrkh) - Kalau letak budak-budak bacul, lawan "budak" lebih bacul malah antara yang paling bacul dari segala kebaculan.
Demikian reaksi spontan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar menjawab tuduhan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri menyifatkan parti pembangkang "bacul" kerana enggan bertanding menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam.
Perdana Menteri juga mendakwa pembangkang sanggup meletak calon bebas yang masih "budak" semata-mata untuk memastikan berlaku pertandingan pada pilihan raya kecil itu.
Mahfuz menolak dakwaan Perdana Menteri itu sambil menegaskan tidak bertanding bukan bererti tidak berlawan sambil membangkitkan semakin ramai rakyat yang mendakwa Umnolah yang menaja calon bebas itu.
"Memang sifat Umno hanya tahu bermain di atas padang yang tidak rata. Si bacul tidak akan berani berlawan di atas padang yang rata (levelled playing field).
"Kalau menang pun kemenangan si bacul. Si bacul yang semakin dituduh tidak pernah mempunyai perasaan malu sedikitpun kerana hanya berani meletakkan calon yang dianggap lemah sahaja untuk menjadi lawannya semata-mata kerana mahu membuktikan berlaku pertandingan pada pilihan raya kecil itu," katanya.
Menurut Mahfuz, BN begitu gelisah apabila PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memboikot pilihan raya itu kerana tindakan itu menjelaskan lagi kepada dunia tentang kecacatan demokrasi negara ini yang diletakkan di tangga tercorot dalam senarai demokrasi terencat (flawed democracy).
"Untuk menutup malu mereka, ramai yang mendakwa BN mencari seseorang untuk menjadi lawannya dalam pilihan raya kecil itu.
"Jika benar dakwaan itu, alangkah baculnya BN kerana hanya sanggup meletakkan seseorang yang tidak menyatakan arah tuju yang jelas, tidak dikenali dan dianggap lemah sebagai lawan. Seperti kata Orang Putih, 'coward of the worst kind'!" katanya.
Ketika ditanya alasan beliau bertanding, calon bebas itu, Ng Chee Pang, 21, hanya menyatakan: “Saya suka bertanding”.
Bagi bapanya, Ng Kwi Ling pula, alasannya ialah: "Saya mahu kasi bisnes pada orang Batu Talam (kerana) kalau ada pertandingan, orang ramai akan datang ke sini".
Mahfuz percaya, walau apa pun yang dilakukan oleh Umno, BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sering dituduh berkerja untuk memenangkan Umno, Malaysia akan tetap berada di nombor paling bawah dalam senarai demokrasi terencat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment