Thursday, January 18, 2007

PAS mungkin boikot pilihan raya umum

Thursday, 18 January 2007
KOTA BHARU, 18 Jan (Hrkh) - Memulaukan pilihan raya umum bukan sesuatu yang mustahil dilakukan oleh PAS atau pembangkang jika segala kepincangan yang berlaku dalam proses pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak diatasi.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tidak menolak kemungkinan akan memulaukan pilihan raya umum akan datang tetapi segala keputusan mengenai perkara itu akan ditentukan bila tiba masanya.
‘‘Kemungkinan itu ada kalau tidak diperbaiki, jangan fikir ia tak mungkin (dilakukan). Tetapi saya tidak kata ‘ya’,” kata beliau.
Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat negeri membayangkan kemungkinan itu kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco di sini, semalam.
PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memboikot pilihan raya kecil Batu Talam 28 Januari ini kerana tidak mahu bertolak ansur dengan perjalanan sistem pilihan raya dan SPR yang dicemari penyelewengan, kepincangan dan penipuan.
Ditanya tentang penyertaan PAS dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir Disember lalu, beliau berkata, pilihan raya kecil itu adalah kes yang berlainan namun mempunyai kaitan.
Di Pengkalan Pasir, katanya, PAS cuba mempertahankan kerusinya yang dirasakan penting kerana ia boleh menggugat kerajaan Kelantan apabila PAS dan Barisan Nasional memiliki jumlah kerusi yang hampir seimbang.
‘‘Perjalanan pilihan raya di Pengkalan Pasir mengukuhkan keputusan Pas untuk tidak menyertai pilihan raya di Batu Talam kerana wujud kes pengundi hantu, penyamaran dan politik wang yang berleluasa,” ujarnya.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan.
Pengerusi SPR itu juga mencadangkan agar sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihan raya serta penstrukturan semula SPR.
Abdul Rashid dilihat sebagai memberikan gambaran bahawa pilihan raya di negara ini tidak telus, tidak adil dan tidak saksama apabila berkata, selain memberi lebih kuasa kepada SPR, kajian semula itu juga bertujuan menjadikan proses pilihan raya lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.
Beliau juga dilihat menggambarkan bahawa SPR tidak dapat menjamin keadilan dalam pilihan raya apabila berkata, undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan keadaan sosial yang telah berubah.

No comments: