Sunday, January 14, 2007

PAS rela kalah tetapi tidak rela terus ditipu SPR - Presiden

Saidah Hairan Mon Jan 15, 07 03:46:57 AM
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Hrkh) - PAS rela kalah dan hilang wang deposit seandainya pilihan raya dijalankan secara bersih tetapi tidak sanggup menyertai pilihan raya jika terus ditipu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya) (SPR) yang menjadi kuda tunggangan Umno/Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyelar tanggapan negatif pimpinan Umno/BN yang mendakwa PAS tidak menyertai pilihan raya di Dun Batu Talam kerana takut menghadapi kekalahan.
"PAS bukan penakut, yang penakut ialah Umno/BN, apa yang PAS nak takut PAS tidak buat salah tidak ada rasuah, tidak ada penyelewengan. PAS bukan sahaja kalah malahan mengalami hilang wang pertaruhan dalam beberapa pilihan raya," katanya ketika berceramah di Dewan Dato' Fadzil Noor, Markas PAS Taman Melewar dekat sini malam semalam.
Menurut beliau, sejak tahun 1955, PAS tidak berhenti bertanding dalam pilihan raya dan kalah untuk memerintah Terengganu dan Kelantan pada tahun 1959.
Katanya, Terengganu pula dikalahkan pada tahun 1961 dengan cara kotor iaitu menculik wakil rakyat dan membeli wakil rakyat, begitu juga di Kelantan dikalahkan dengan menculik dan membeli wakil rakyat.
Beliau berkata, walaupun pelbagai taktik kotor dilakukan terhadap PAS tetapi ia terus menyertai pilihan raya, tidak takut dijatuhkan dan tidak pernah takut hilang wang pertaruhan.
"Umno yang tidak boleh menerima kekalahan kerana jika mereka kalah, pelbagai kes penyelewengan, rasuah dan jenayah akan terdedah. Ini yang menyebabkan mereka bermati-matian mempertahankan kemenangan," tegasnya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia memahami bahawa sistem pilihan raya sangat kotor, tidak betul dan ia perlu diperbetulkan maka PAS bertanggungjawab untuk memulakan anjakan paradigma melalui pilihan raya kecil Dun Batu Talam.
Oleh itu, katanya, PAS, KeADILan serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memulakan tindakan boikot itu dan akan disusuli langkah lain kerana mahu menyelamatkan negara daripada musibah dan kemungkaran politik dan pelbagai perkara lagi.
Dalam ceramah itu, beliau turut menasihati penduduk di negeri Johor yang dilanda banjir, supaya melakukan muhasabah diri iaitu merenung kembali perbuatan sendiri apabila ditimpa sesuatu bencana termasuk mereka yang menganggap diri tidak melakukan kesalahan.
Ini kerana katanya, apabila Allah SWT menurunkan suatu bencana ke atas suatu kaum maka Allah memilih secara umum tanpa mengira mereka yang berdosa atau tidak terlibat dengan dosa.
Beliau juga mengucapkan syabas kepada PAS negeri Johor yang mengambil langkah proaktif tanpa arahan daripada PAS Pusat.
"Alhamdulillah PAS negeri Johor menunjukkan pendekatan yang amat baik," katanya. - lanh

No comments: