Monday, February 12, 2007

Nik Aziz kecewa Pusat abai projek universiti

Oleh V. P. SUJATA
PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan belum memohon untuk mendapatkan tanah seluas 80.9 hektar di Bachok bagi membangunkan Universiti Malaysia Kelantan, kata Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Beliau berkata berita tentang hasrat kerajaan pusat memiliki tanah seluas itu hanya diketahuinya melalui laporan akhbar.
Nik Aziz berkata kerajaan negeri bersedia menyediakan tanah untuk projek universiti itu tetapi was-was sama ada Kerajaan Persekutuan benar-benar serius membangunkan tanah di atas tapak tersebut.
"Kita boleh beri tanah tetapi sudah jemu kerana tanah awal seluas 200 hektar di Bachok yang diberikan sejak 40 tahun lepas zaman (pentadbiran bekas Menteri Besar) Datuk Asri Muda untuk dibangunkan sebuah universiti tidak dimanfaatkan," katanya kepada pemberita selepas melawat Kolej Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing di Cyberjaya hari ini.
"Kita tiada bantahan tentang tanah itu, tetapi jangan minta sahaja kemudian biarkan ia kosong sehingga ditumbuhi rumput panjang. Tanah itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan-tujuan lain."
Difahamkan tanah seluas 200 hektar yang dianugerahkan sejak lama dulu gagal dibangunkan kerana terlalu sempit dan mendorong Kementerian Pendidikan Tinggi memohon tambahan 80.9 hektar.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapa Mohamed berkata menyiapkan universiti tersebut menjadi projek berkeutamaan tinggi di Kelantan bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.
Mengulas lawatannya di kolej universiti swasta itu, Nik Aziz berkata kerajaan negeri telah menandatangani perjanjian persefahaman dengannya untuk menyediakan kepakaran dalam beberapa bidang, termasuk reka bentuk, penjenamaan, metodologi inovasi dan pemasaran industri kampung.
Nik Aziz mengundang universiti itu membuka cawangan di Kelantan bagi mendidik pelajar tempatan dengan latihan amali dalam promosi dan pemasaran produk seperti buah-buahan tempatan.
"Jika mereka tahu bagaimana membuat serbuk durian, mereka boleh hantar sampel ke luar negara melalui orang yang pergi haji, misalnya," katanya, sambil menambah produk inovatif seumpama itu bukan sahaja mempromosikan Malaysia tetapi juga Kelantan.

No comments: