Rizal Tahir
Tue Feb 06, 07 12:36:47 PM
KOTA BHARU, 6 Feb (Hrkh) – Umat Islam perlu berusaha mendapatkan kuasa politik bagi membolehkan undang-undang mengikut kaedah Islam dilaksana untuk melahirkan kesejahteraan hidup manusia.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik berkata, sekiranya umat Islam membiarkan pihak lain menguasai politik sudah tentu undang-undang dan pentadbiran negara digubal mengikut mengikut kehendak mereka.
“Sekarang banyak negara yang diperintah mereka yang tidak memahami hukum-hukum Allah sehingga mengakibatkan rakyat menjadi mangsa kejahilan pemerintah,” katanya pada pertemuan dengan rombongan dari Majlis Perbandaran Yingo, Narathiwat di JKR 10, baru-baru ini.
Rombongan tersebut diketuai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Yingo, Nik Fauziah Nik Idris. Hadir sama 44 ahli majlis perbandarannya dan iman-imam.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tanpa kuasa politik umat Islam akan terus ditindas oleh undang-undang yang dibuat golongan sekular.
Katanya juga, di peringkat dunia hanya ada dua negeri sahaja yang ditadbir pemimpin yang bertaraf ulama iaitu Iran yang dikuasai golongan Syiah dan Kelantan diperintah PAS.
“Setelah mendapat kuasa politik banyak undang-undang yang telah kami gubal mengikut dasar Islam. Keadaan ini berlaku kerana kesedaran berpolitik penduduk Kelantan sangat tinggi,” ujarnya.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Yingo, Mohamad Shukri Ismail berkata, kunjungan hormat itu bertujuan merapatkan lagi hubungan antara Yingo dengan Kelantan.
Menurutnya juga ramai penduduk Islam di Yingo mengikuti kuliah yang disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz melalui kaset dan buku-buku.
Oleh itu beliau berharap kerajaan Kelantan dapat membekalkan kaset dan buku agama khususnya yang bertulisan jawi untuk dimanfaatkan penduduk di daerah tersebut.
Hadir sama pada pertemuan itu, Setiausaha Sulit Menteri Besar, Nik Azlan Abdul Hadi dan aktivis masyarakat, Haji Abdul Razak Abbas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment