Nyza Ayob Sat Feb 10, 07 05:45:58 AM
KUALA LUMPUR, 10 Feb (Hrkh) - Proses demokrasi seolah tidak wujud di negara ini apabila rakyat tidak mampu untuk mengadili kerajaan yang sedia ada dalam satu sistem pilihan raya yang bersih dan adil.
Perkara ini ditegaskan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang semasa ucapannya dalam 'Sidang Meja Bulat Nasional, Demokrasi dan Pilihan raya', anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kelab Century Paradise, Melawati hari ini.
Jelas Abdul Hadi, proses demokrasi yang sepatutnya untuk memulihkan kerajaan, tetapi di Malaysia perkara ini tidak wujud seolah-olah Malaysia negara satu parti.
"Untuk memahami apakah pencemaran demokrasi, kita perlu memahami prinsip demokrasi itu sendiri. Adakah proses demokrasi dalam pilihan raya benar-benar berlaku di negara kita?
"Parti-parti yang ada di Malaysia ini seolah-olah hanya sebagai 'kosmetik'. Walaupun kita telah berubah kepada kepimpinan baru, krisis seperti penyelewengan, rasuah dan pencabulan demokrasi masih berlaku. Jika di negara lain masalah seperti setinggan, kenaikan harga barang membantu rakyat membuat perubahan, tetapi ia tidak berlaku di negara kita,"katanya.
Tegas Abdul Hadi, rakyat di negara ini juga tidak diberi peluang untuk menjadi hakim yang adil kepada kerajaan berbanding di negara lain rakyat menjadi 'penasihat' kepada kerajaan.
Turut memberi ucapan dalam sidang tersebut ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat(PKR), Dr Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Sementara itu Abdul Hadi sewaktu sidang media menegaskan pemboikotan pilihan raya kecil Dun Batu Talam bukan bermakna PAS memboikot sistem demokrasi di Malaysia.
"Kita bukan boikot demokrasi sebaliknya kita tetap mendokong dan menghidupkan demokrasi. Boikot yang kita lakukan merupakan satu proses terhadap kerajaan kerana mencemar dan merosakkan demokrasi melalui rasuah serta politik wang.
"Jadi Batu Talam menjadi simbol untuk menyatakan protes terhadap demokrasi yang tercemar. Kita akan menyertai pilihan raya. Selain itu Batu Talam menjadi isyarat kepada kerajaan kerana kebiasaannya dalam pilihan raya kecil, peratus undi lebih tinggi daripada pilihan raya umum tetapi peratusan undi Barisan Nasional (BN) di Batu Talam merosot,"katanya.
Jelas Abdul Hadi, jika dilihat pada peratus penurunan undi BN, parti itu sebenarnya tidak mencapai 'kemenangan' di Batu Talam. Kemerosotan peratus undi juga menunjukkan kempan boikot pilihan raya Batu Talam oleh PAS berjaya.
Katanya dengan mengerahkan tenaga pilihan raya termasuk kempen keluar mengundi untuk menaikkan peratusan mengundi, BN juga 'gagal' dalam pilihan raya tersebut.
Ditanya tentang sama ada PAS optimis akan berlaku perubahan dalam perjalanan pilihan raya, jelas Abdul Hadi, perkembangan terbaru daripada SPR bahawa suruhanjaya tersebut sedang mempertimbangkan penggunaan 'thumb print' dalam pengundian dipercayai kesan daripada tuntutan pembangkang termasuk memboikot pilihan raya. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment