Sunday, February 11, 2007

Samy Vellu sudah malu, hina bantahan rakyat

Azamin Amin Mon Feb 12, 07 05:01:52 AM
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - Akibat malu dengan bantahan rakyat berikutan kenaikan tol dan dituduh sebagai 'orang jahat' oleh sesetengah pihak, Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S. Samy Vellu kini cuba melepaskan tanggungjawab tersebut kepada orang lain.
Dalam laporan akhbar hari ini, beliau dipetik sebagai berkata, setiap kadar tol lebuh raya yang ditetapkan bukan dibuat oleh kementeriannya, sebaliknya diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.
Mengulas kenyataan tersebut Bendahari PAS Dr Hatta Ramli berkata, bantahan serius rakyat telah menyebabkan Sammy Vellu merasa malu dan cuba mengalihkan isu tersebut supaya masalah tol itu dikongsikan bersama dengan rakan kabinet yang lain.
"Wajarkah seorang menteri yang dibayar gaji berbelas ribu hanya ditugaskan sebagai 'annoucer' sahaja, dan langsung tidak ada tanggungjawab untuk memikirkan masalah rakyat?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi bagi mengulas kenyataan Samy di akhbar dan TV yang mengatakan bahawa beliau hanya sekadar 'tukang baca berita TV' berhubung kenaikan tol baru-baru ini.
Malah lucu dan memalukan katanya apabila Samy Vellu memberi contoh tentang kadar baru tol Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) yang mana beliau tidak mengetahui tentang bantahan tersebut tetapi telah membawanya ke Kabinet untuk dibincangkan.
“Saya memberitahu Perdana Menteri bahawa kadar tol baru LDP RM1.60 tidak dapat diterima oleh sebahagian masyarakat," katanya yang dipetik daripada laporan akhbar.
"Beliau kini sudah merasa malu kerana perjanjian konsesi tersebut telah diketahui ramai dan telah mendapat kesan besar akibat bantahan orang ramai dalam beberapa siri demonstrasi tol sejak akhir ini," kata Hatta lagi.
Tambahnya lagi kerana isu tol tersebut, perjanjian konsesi dihebahkan sebagai dokumen OSA, sehinggakan pihak yag mendedahkan untuk pengetahuan rakyat, terpaksa menjalani soal-siasat oleh polis Bukit Aman baru-baru ini.
Dr Hatta merupakan pemimpin pembangkang yang dipanggil ke Bukit Aman, pada 5 Febuari (Isnin) lalu untuk memberi keterangan dalam siasatan di bawah OSA mengenai pendedahan kandungan konsesi tol.Tiga yang lain turut dipanggil ialah Tan Sri Khalid Ibrahim, Tian Chua dari Parti KeADILan Rakyat, serta pemimpin DAP, Ronnie Liu.
Kata Hatta lagi, Samy Vellu perlu menjawab semua persoalan yang dikemukan oleh rakyat dan pembangkang berhubung kenaikan tol yang menghimpit kos kehidupan rakyat selama ini dan bukannya 'baling batu, sembunyi tangan' ataupun 'mencuci tangan' seolah-olah beliau tidak perlu dipertanggunjawabkan dalam hal ini.
Beliau turut mengulas kenyataan Samy Vellu yang cuba menghina perjuangan rakyat dengan melabelkan mereka sebagai kanak-kanak yang sentiasa menbantah setiap keputusan kerajaan.
"Samy Vellu sudah tidak tahan lagi dengan bantahan rakyat sebab itulah dia melabelkan orang lain sebagai kanak-kanak," katanya yang turut memberi amaran supaya tidak menghina perjuangan rakyat yang menuntut keadilan dan melibatkan kepentingan bersama.
"Sedangkan kanak-kanaklah yang selalunya menurut perintah dan tidak membantah.Yang selalu menurut apa sahaja yang diarahkan oleh kerajaan walaupun salah adalah orang bersikap seperti kanak-kanaklah," katanya lagi.
Sekiranya Samy telah mengambil kira pandangan rakyat seperti yang didakwa, sudah pasti rakyat tidak akan membantah kenaikan tol yang ternyata menyulitkan lagi kehidupan dan beban rakyat selama ini.
"Dia kata sudah ambil kira pandangan rakyat? Kaedah apa yang diguna pakai?," katanya dan turut merujuk kata-kata dan 'lagu' yang sering didendangkan oleh Samy Vellu seperti "You mau 'facility', you bayar~" dan "Kerajaan terpaksa bayar pampasan pada syarikat konsesi...," setiap kali menaikkan kadar tol.
Menurut laporan akhbar,Samy menyelar tindakan segelintir pihak terutamanya parti pembangkang yang disifatkan seperti kanak-kanak apabila setiap keputusan kerajaan dibantah oleh mereka.
“ Mereka berkata seperti kanak-kanak kerana tidak memahami mengapa kerajaan membuat keputusan itu dan kerajaan juga mengambil kira pandangan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan,”jelasnya. - mks.

No comments: