Wan Nordin Wan Yaacob Tue Feb 13, 07 01:57:42 AM
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) - Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Mohamad Ezam Mohd Nor telah dilantik sebagai Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa, di The May 18 Memorial Foundation sebuah pertubuhan demokrasi di Korea.
Pengerusi Gerak itu telah dijemput untuk mesyuarat pertama selaku anggota penasihat antarabangsa bagi badan yang berpusat di Gwangju, Korea itu pada 7 hingga 9 Febuari lalu.
Selain itu Gerak turut dinamakan sebagai pengkalan kepada aktiviti yayasan tersebut di Asia Tenggara, kata Koordinator Gerak, Badrul Hisham Shaharin kepada Harakahdaily hari ini .
"Pelantikan Ezam sebagai panel penasihat merupakan pengiktirafan yang amat bernilai kepada Gerak" kata Badrul Hisham.
"Walaupun sebagai organisasi baru namum usaha serius yang oleh semua warga kerja Gerak yang diterajui Ezam telah mula diberikan perhatian bukan sahaja di peringkat tempatan namun oleh beberapa organisasi di peringkat antarabangsa.
Sementara pada pertengahan Mac ini pula Ezam akan berada di Scotland atas jemputan Amnesty International bagi meneruskan perjuangan demokrasi melalui gerakan antarabangsa, tambah Badrul lagi.
Sebagai menghormati Ezam sebagai keluarga baru panel penasihat antarabangsanya, yayasan tersebut turut mengadakan majlis ringkas melancarkan buku terbaru terbitan Gerak, "Freedom of Information in Malaysia' pada 8 Februari di salah sebuah restoran terkemuka di Gwangju, katanya.
Terdahulu sebelum ini buku yang sama yang mengulas isu sekatan terhadap kebebasan maklumat di Malaysia yang sering terhalang dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) telah dilancarkan di hadapan Balai Polis Bukit Aman oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Buku itu ditulis Ezam bersama seorang peguam muda, Fadha Nur Ahmad Kamar yang juga bekas pemidato terhebat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pelancaran di hadapan Bukit Aman itu bersempena dengan tindakan Bukit Aman memanggil empat aktivis Protes antaranya, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Bendahari KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan Ahli Majlis Tertinggi DAP, Ronnie Liu.
The May 18 Memorial Foundation merupakan sebuah yayasan yang ditubuhkan hasil dari wang pampasan yang dibayar oleh kerajaan Korea kepada pejuang kebangkitan rakyat yang dizalimi oleh ditaktor suatu ketika dahulu di Korea.
Kini yayasan tersebut selain dari menjaga kebajikan waris pejuang demokrasi di Korea , ia juga menumpukan usaha memperkasakan demokrasi di seluruh Asia. - mks
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment