Salmiyah Harun Fri Feb 16, 07 02:39:31 AM
KUALA LUMPUR, 16 Feb (Hrkh) - Barisan Nasional (BN) dijangka menghadapi cabaran besar apabila kecenderungan kaum bukan Melayu khususnya Cina jelas semakin cenderung menyokong pembangkang kata penganalisis politik, James Wong Wing On.
Beliau berkata, parti pembangkang yang dijangka mendapat sokongan besar di kalangan orang Cina adalah DAP dan parti Keadilan Rakyat.
Kecenderungan ini juga berpunca daripada sikap 'biadap' pemimpinan Umno semasa perhimpuann agung mereka yang menghunuskan keris, kononnya mahu mempertahankan ketuanan Melayu sebaliknya menghiris perasaan kaum lain.
James Wong yang dihubungi Harakahdaily berkata, keadaan ekonomi yang tidak stabil juga salah satu sebab orang Cina beralih menyokong pembangkang.
Katanya, bagi orang Cina mereka sangat menitikberatkan soal ekonomi memandangkan mereka menetap di bandar dan menjalankan aktiviti perniagaan serta makan gaji.
"Majoriti orang Cina tinggal di bandar dan ini tidak sama dengan orang Melayu yang ada tanah di kampung, kalau tidak ada perniagaan di bandar mereka boleh balik kampung," katanya.
Beliau juga berkata, orang Cina mahukan pembangkang yang kuat dari segi terutama 'check and balance' serta boleh membongkarkan segala skandal-skandal yang berlaku.
James Wong juga berpendapat, pengundi Cina akan terdorong dengan dua parti pembangkang yang dominan di negara ini sama ada DAP ataupun Keadilan.
Ditanya apakah PAS bukan pilihan kaum Cina, James berkata, PAS secara tradisinya tidak bertanding di kawasan majoritinya kaum Cina malahan PAS banyak memberi laluan kepada DAP ataupun Keadilan kerana lebih menumpukan kawasan majoriti Melayu.
Bagaimanapun, katanya kaum Cina juga tidak mustahil akan menyokong Keadilan yang kini memiliki ahli yang pelbagai bangsa.
"Kalau PAS mungkin tidak, sebab aktiviti yang dibuat dalam parti itu terhad kepada majoritinya orang Melayu, kalau ada kaum Cina pun lebih kurang lima peratus sahaja,"jelas beliau.
Beliau juga berterus-terang menjelaskan tidak ramai pengundi Cina yang menyokong PAS tetapi mereka boleh terima PAS menjadi pembangkang yang kuat tetapi belum ke tahap menjadi sebuah kerajaan yang memerintah.
"Jika PAS meminta undi dari kaum Cina untuk menjadikannya sebuah parti pembangkang yang kuat, saya rasa tidak menjadi masalah kepada orang Cina," jelasnya.
Baru-baru ini Malaysiakini.com melaporkan, dua dari setiap tiga orang pemilih kaum Cina dijangka mengundi parti pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang, menurut hasil tinjauan pendapat yang dijalankan oleh firma penyelidikan, Merdeka Centre.
Enam puluh peratus responden kaum Cina yang menyertai tinjauan tersebut – yang dijalankan antara bukan Oktober dan Disember tahun lalu – berkata sudah tiba masanya untuk mengundi pembangkang supaya suara mereka didengar.
Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, beberapa tinjauan lagi perlu dilakukan bagi mengesahkan sama ada pengundi Cina benar-benar akan menyokong pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, nampaknya besar kemungkinan mereka akan demikian sebagai tanda protes mereka dalam pilihanraya akan datang.
Beliau bagaimanapun berpandangan, parti-parti politik kaum Cina dalam BN mampu menangani sentimen negatif ini sebelum pilihanraya umum akan datang diadakan.
“Banyak langkah yang boleh diambil untuk menangani keadaan ini, seperti dalam sektor pendidikan. Harga minyak dunia yang rendah mungkin mendorong kerajaan untuk menurunkan harga minyak – satu langkah yang boleh memberi kesan besar terhadap para pengundi,” katanya. - mr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment