Azamin Amin Wed Feb 28, 07 04:58:33 AM
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Semenjak akhir ini, pelbagai isu yang membabitkan Kerajaan PAS Negeri Kelantan sering terpapar dalam media menandakan 'perang' untuk pilihan raya akan datang sudah bermula dan negeri tersebut menjadi 'mangsa' pertama dalam peperangan ini.
Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar berkata 'pengendang-pengendang' Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah mula memainkan peranannya untuk memburuk imej PAS khususnya di Kelantan dalam persiapan mereka untuk menghadapi pilihan raya umum yang dijangka tahun ini.
"Sudah mula kedengaran dendangan dan lagu-lagu lama diputarkan semula demi untuk memusnahkan imej PAS namun saya percaya rakyat khususnya pendudk Kelantan sudah boleh menilai dengan bijaksana dan tidak termakan dengan omongan yang mereka mainkan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Hakikatnya PAS sudah memerintah Kelantan selama 4 penggal semenjak tahun 1990 menandakan sokongan padu rakyat terhadap perjuangan PAS,dan telah membuktikan kemampuannya yang telah dilihat bukan sahaja seluruh masyarakat malah dunia" katanya lagi.
Walaupun katanya dengan pelbagai usaha Umno dan Kerajaan BN untuk melemahkan PAS, memberi tekanan bertubi-tubi termasuk menarik geran kerajaan pusat dan menghentikan bantuan kewangan, namun PAS berjaya menambat hati peenduduk Kelantan dengan mentadbir secara berhemah dan penuh wibawa.
Di samping itu beliau turut menyelar pandangan Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin yang dipetik sebagai berkata bahawa rakyat Kelantan sudah serik dengan pemerintahan PAS dan akan mengundi semula BN pada pilihan raya akan datang.
Bankrap idea
"Zam sudah bankrap idea, ini termasuk BN dan rakyat Kelantan sudah mangli dengan cakap-cakap begini," katanya yang turut diminta untuk mengulas dakwaan Zam dalam laporan akhbar hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa hiburan yang dibenarkan di negari Kelantan adalah hiburan yang mengikuti syarat-syarat dan garis panduan yang teelah dibuat semnjak 1990 dan menepati dari segi hukum syaraknya dan tidak timbul soal mengubah daripada haram menjadi halal seperti yang didakwa Zanuddin.
Malah, katanya Kelantan telah mengambil iniasiatif memperkenalkan hiburan alternatif Islam kepada masyarakat disamping menonjolkan sukan untuk wanita yang dianjurkan oleh Nisa' baru-baru ini yang mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan.
"Sepatutnya kerajaan pusat menyokong usaha murni yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan tetapi yang terjadi adalah sebaliknya," katanya
"Malah Kementerian Penerangan yang paling menonjol usahanya untuk memboikot dan menyekat sebarang usaha tersebut dengan tidak memberi ruang kepada media untuk melaporkan,"katanya
"Yang ada ialah penerangan daripada Zam yang sering memburuk-buruk kerajaan Kelantan," katanya yang turut menjelaskan bahawa tindakan tersebut membuktikan kerisauan dan kekhuatiran BN terhadap sokongan pelbagai lapisan masyarakat terhadap PAS selama ini.
Biarpun dengan pelbagai tekanan dan sekatan namun PAS sedaya upaya berusaha di sebalik kepayahan tersebut untuk membela nasib rakyat dan menangani isu-isu yang dibangkit dengan sebaiknya.
"Dan kita menjangkakan dan menduga 'serangan' lebih dahsyat akan dilakukan BN terhadap PAS tidak lama lagi dan PAS telah bersiap-sedia menghadapinya," katanya. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment