Tuesday, February 27, 2007

PRU-12 : Rasuah, kronisme dan diskriminasi akan tumbangkan Barisan Nasional

Nyza Ayob Tue Feb 27, 07 09:05:51 AM
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Hrkh) - Amalan rasuah, kronisme dan diskriminasi di kalangan pemimpin negara adalah antara faktor yang akan menyebabkan pengundi bukan Melayu tidak akan mengundi Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang, kata Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Haji Mahfuz Omar.
Beliau berkata demikian dalam sidang medianya yang diadakan di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar hari ini.
Beliau merujuk kepada keputusan kajian Merdeka Center tentang sikap orang-orang Cina terhadap pentadbiran awam negara telah menunjukkan satu perkembangan positif dalam pemikiran politik rakyat.
Dasar BN lemah
Kajian tersebut menunjukkan 60 peratus daripada lebih 1000 responden berbangsa Cina telah mengyatakan bahawa mereka akan mengundin pembangkang dalam pilihan raya akan datang kerana membantah kelemahan dasar kerajaan Barisan Nasional.
Walaupun penafian cuba dibuat oleh Presiden Dewan Perniagaan Cina, Dato' David Chua tetapi ternyata hasil kajian ini diakui oleh Pengarah Pusat Kajian Strategik dan Sosial, Dr Denilson Jayasuria.
Hasil kajian tersebut menunjukkan perubahan sikap orang Cina berpunca daripada protes mereka terhadap kegagalan kerajaan menangani isu orang Cina, di samping beberapa faktor lain sebagai pengagihan kekayaan yang tidak adil, ketidak cekapan pentadbiran awam dan peningkatan amalan rasuah.
Kesedaran ini menunjukkan bahawa rakyat mempunyai harga diri dan tahu hak-hak mereka. Perubahan yang positif ini turut menggambarkan bahawa rakyat akan menggunakan hak mereka dalam pilihan raya unutk membela kepentingan rakyat seluruhnya.
Umno gagal, Melayu biarkan
Justeru beliau mempersoalkan bagaimana sikap politik orang Melayu selepas 50 tahun kemerdekaan serta sikap selepas Umno gagal memenuhi hasrat ekuiti 30 peratus yang disasarkan oleh DEB, peningkatan jurang kekayaan antara kaum, termasuk sesama orang Melayu, serta isu pengusiran dari kediaman.
" Orang Melayu tidak sewajarnya membiarkan diri mereka dilabelkan sebagai bangsa yang tidak mempunyai harga diri dan tidak mengenal hak sendiri. Orang Melayu mesti berubah dengan perkembangan politik, ekonomi dan sosial yang berlaku hari ini supaya orang Melayu dilihat lebih matang, terbuka dan progresif dalam mencapai kemajuan hidup. Jadi orang Melayu seharusnya menyertai sikap orang Cina yang bersedia untuk berubah dan mempertahankan hak mereka,"katanya.
Petunjuk ekonomi PM disokong menantu
Sementara itu dalam sidang media yang sama, beliau turut menyentuh penegasan yang terpaksa yang dibuat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi tentang kebenaran angka-angka yang menjadi petunjuk ekonomi masa kini bagi meyakinkan rakyat tentang kesahihan pertumbuhan ekonomi negara.
Penegasan Abdullah mengenai angka-angka tersebut adalah 'genuine' menunjukkan kerajaan menyedari bahawa rakyat langsung tidak percaya kepada data-data ekonomi yang diumumkan MIER serta menggambarkan penipuan angka yang sepatutnya dinikmati rakyat.
Mahfuz juga melahirkan kesangsian kerana kenyataan Abdullah itu hanya disokong oleh Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yaakup dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin. Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak disokong oleh mana-mana pakar ekonomi terkenal serta penegasannya itu tidak disokong oleh menteri-menteri yang lain.
Menteri pun tidak sokong
"Tidak sepatutnya beliau sendiri mempertahankan kenyataannya. Sepatutnya ada menteri yang menyokong kenyataannya selain Nor Mohamed Yaakop. Tetapi kita lihat menteri-menteri berdiam diri apatah lagi pakar ekonomi untuk menyokong kenyataannya itu," katanya.
Tegasnya lagi, perkembangan ini jelas menunjukkan rakyat menyedari bahawa hakikat sebenar pertumbuhan ekonomi adalah ditunjukkan oleh peningkatan kuasa beli rakyat, pertambahan peluang kerja serta pengurangan pengangguran dan penurunan kadar inflasi. Apa yang berlaku hari ini katanya sama sekali bertentangan dengan petunjuk asas ini.
"Jadi, bagaimana kerajaan mendakwa ekonomi negara berkembang pesat. Kerajaan tidak boleh bergantung kepada kelompok kecil. Kesatuan Sekerja Kakitangan Kerajaan(Cuepacs) juga menuntut kenaikan gaji. Ini menunjukkan ekonomi negara kita memang bermasalah.
Ringgit tiada nilai
"Apa berlaku sebenarnya tidak menggambarkan keadaan sebenar ekonomi negara. Kekukuhan ringgit yang didakwa oleh kerajaan sebenarnya bukanlah satu peningkatan nilai, tetapi kelemahan yang dialami oleh dollar US yang menjadi sandaran ringgit. Ini terbukti apabila ringgit tidak mempunyai nilai yang kukuh berbanding pound, euro dan yen walaupun kelihatan semakin baik berbanding dollar, "katanya.
Mahfuz yang juga Pengerusi Institut Pengembelengan dan Perkembangan Komuniti (Impak) menegaskan dakwaan mengatakan berlakunya peningkatan pelaburan besar-besaran sehingga mencecah RM 40 billion juga tidak boleh dijadikan asas kerana daripada jumlah tersebut sebahagian besarnya melibatkan pelaburan domestik.
Tambahnya lagi, keadaan ini bermakna pelabur asing masih belum mempunyai keyakinan, sebaliknya pelaburan yang besar adalah pelaburan kerajaan melalui projek raksasanya. Sedangkan apa yang menjadi petunjuk ialah keyakinan pelabur asing yang melabur di negara ini.
Tegas Mahfuz lagi, dakwaan pertumbuhan mendadak ekonomi negara tidak disertakan dengan keupayaan kerajaan untuk memmberikan keselesaan kepada rakyat sebaliknya apa yang rakyat nikmati adalah kenaikan tol, kenaikan petrol, harga minyak, kadar inflasi serta penigkatan kadar jenayah.
"Inilah hakikat sebenar ekonomi Malaysia yang tidak membawa kebahagiaan kepada rakyat. Maka rakyat tidak boleh disalahkan jika mereka terus tidak mempercayai data-data yang dikemukakan untuk mengabui mata mereka," katanya./wann

No comments: