Zaili Muhammad Fri Feb 23, 07 09:39:53 AM
MELAKA, 23 Feb (Hrkh) - Islam Hadhari yang dianuti oleh kepimpinan negara semakin jauh dan tersasar dari ajaran Islam sebenar bahkan seolah-olah sedang wujud satu percubaan untuk meliberalkan Islam atau dengan kata mudah menyesuaikan Islam ke dalam masyarakat berbilang agama di Malaysia ini.
Dalam perkembangan terbaru, kabinet baru-baru ini mengarahkan agar pembacaan doa di majlis-majlis rasmi yang turut dihadiri bukan Islam dilakukan dengan cara yang turut juga menghormati amalan agama mereka jelas amat dikesalkan dan menimbulkan kebimbangan ramai pihak mengenai status Islam sebagai agama rasmi negara.
Menurut Mudir Maahad Ar Rahmah Ayer Molek, Ustaz Kamaruddin Sidek, bahawa tidak timbul orang bukan Islam tersinggung dengan bacaan doa kerana Islam adalah agama rasmi Malaysia dan tiada satu kajian terperinci ataupun laporan rasmi yang menyebut ibu bapa bukan Islam tersinggung.
"Kabinet mesti berpendirian tegas untuk menjaga kesucian agama Islam, jangan mudah menuduh punca perpecahan kaum dari doa dan amalan ini merupakan satu tradisi yang lama di sekolah-sekolah.
"Kalau tidak boleh bahasa Arab kita boleh gunakan bahasa Melayu tapi jangan menghalang doa kerana itu hubungan kita dengan Allah," kata Ustaz Kamaruddin.
"Kabinet perlu merujuk institusi agama yang berwibawa untuk mendapatkan pandangan terlebih dulu sebelum mengeluarkan keputusan, apa guna Jakim, Ikim dan Majlis Fatwa Kebangsaan," tambah beliau lagi.
Sementara itu, seorang bapa, Khairul, 46, melahirkan rasa terkilan dengan arahan kabinet itu kerana selama ini dia begitu gembira melihat anaknya yang bersekolah rendah sudah boleh membaca doa ringkas seperti doa makan dan doa keluar masuk tandas seterusnya membentuk peribadi serta jati diri yang mulia.
"Dengan arahan terbaru kabinet ini akan melahirkan generasi umat Islam yang jahil dan lemah dari segi penguasaan agamanya sendiri," ujarnya lagi. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment