Thursday, February 15, 2007

Muslimat PAS gesa tabung khas bantu ibu tunggal disegerakan

Azamin Amin Thu Feb 15, 07 07:11:27 AM
KUALA LUMPUR, 15 Feb (Hrkh) - Muslimat PAS menyokong penuh cadangan mewujudkan tabung khas bagi meringankan beban kewangan isteri dan anak yang terbabit dalam kes penceraian atau kematian suami bagi membantu membiayai kos sara hidup mereka.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat mahu pengujudan tabung tersebut disegerakan bagi membantu memulihkan kehidupan isteri ataupun ibu tunggal mengalami kesulitan akibat daripada kedua-dua musibah yang tidak diingini tersebut.
"Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mesti ambil perhatian serius cadangan ini supaya dilihat mampu melindungi wanita terutama golongan yang berada dalam keadaan lemah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Isteri ataupun ibu tunggal yang bercerai mahupun kematian suami lazimnya akan menghadapi masalah kewangan khususnya yang tidak berkerja dan hilang tempat bergantung malah ada yang terpaksa meraih simpati dan mengadu nasib kepada orang ramai demi untuk meneruskan kehidupan mereka dan anak-anak, katanya.
Elak terjerumus perbuatan maksiat
"Setelah bercerai hidup atau mati, sekurang-kurangnya belanja yang diperlukan RM1,000 lebih bagi wanita yang tidak berkerja," katanya.
Bagaimanapun kata beliau, tertakluk kepada kajian kerajaan mengikut spesifikasi latar belakang kemampuan wanita terbabit.
"Lagipun barangan keperluan semuanya naik, kerajaan mesti memberi dana atau wang yang setimpal, tidak cukup sekadar ratusan sahaja.
"Namun jika cadangan ini diterima, kerajaan mesti adil dan tidak pilih kasih dalam soal pembahagian tidak kira apa jua latar belakang wanita itu," katanya lagi.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar cadangan daripada Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dato' Sheikh Ghazali Abdul Rahman supaya kerajaan menubuhkankan tabung khasuntuk membela dua golongan yang dimaksudkan.
Ghazali dipetik sebagai berkata, dana untuk tabung berkenaan boleh diperolehi menerusi pelbagai sumber antaranya geran kerajaan, wang zakat, sektor korporat dan umat islam yang berkemampuan.
Mengulas lebih lanjut, Ustazah Azizah berharap dengan kewujudkan tabung tersebut,wanita terbabit akan dapat memulakan kehidupan mereka dengan membeli barangan keperluan asas, berniaga dan berkerja.
Langkah itu juga katanya, boleh menghalang mereka daripada terjerumus melakukan perkara-perkara maksiat untuk mendapatkan sumber pendapatan seperti mengedar dadah, menjadi GRO dan melacur.
"Kita tidak mahu mereka menggunakan kaedah darurat dalam mencari rezeki seperti yang pernah dilontarkan oleh Mashitah dahulu," katanya merujuk topik 'melacur dalam keadaan darurat' yang pernah hangat diperbincangankan berikutan respon Ahli Parlimen Baling, Dato' Dr Mashitah Ibrahim berhubung isu tersebut.
"Bagaimana susah sekalipun, wanita jangan sampai membelakangi agama walaupun untuk meneruskan kehidupan harian," katanya.
Ketua Muslimat PAS itu juga berkata adalah tugas pihaknya untuk memperjuangkan nasib kaum wanita dan akan terus mendesak kerajaan segera membantu kaum wanita, khususnya mereka yang dilanda musibah. - mr

No comments: