Maslan Yusoh Tue Feb 27, 07 09:40:12 AM
KOTA BHARU, 27 Feb (Hrkh) – Pembangkang di Dun Kelantan dianggap bersikap hipokrit apabila enggan memberi sokongan terhadap penggunaan tulisan rumi dalam perlembagaan negeri.
Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim berkata, dalam masa yang sama mereka mendakwa sebagai pejuang Melayu, namun dari tindak tanduk apabila menyentuh isu di Kelantan mereka bersikap di sebaliknya pula.
“Enakmen yang dibentang ini bukan bertujuan politik, sebaliknya bagi kepentingan awam untuk memudahkan orang ramai membuat rujukan. Lagi pun undang-undang sedia ada yang terakhir dicetak pada 1985.
“Tahun ini negara akan menyambut ulangtahun ke-50 kemerdekaan, namun sikap dipamerkan pembangkang tidak menggambarkan sebagai pejuang Melayu sebenar,” katanya di sini.
Hari ini pada persidangan Dun 21 wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) mengambil sikap berkecuali apabila pengundian dibuat terhadap Enakmen Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2007.
Enakmen itu dibentang Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Hasssan Mohamood.
Ketika Speaker Dun, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menanyakan seorang demi seorang anggota Dewan, sama ada bersetuju atau tidak, Adun BN yang diketuai Dato’ Seri Annuar Musa bangun sambil memberitahu berkecuali dan tidak mengundi.
Berdasarkan catatan dibuat Setiausaha Dewan Negeri, Muhammed Imran Mansoor seramai 23 Adun menyokong, tiada menentang dan 21 berkecuali.
Pindaan tersebut dibuat bagi membolehkan perlembagaan negeri dicetak selepas percetakan milik kerajaan tidak wujud lagi setelah Percetakan Nasional dikorporatkan.
Pindaan itu perlu dibuat berdasar surat dari Pejabat Peguam Negara kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bertarikh 25 Mei 2005 bagi membolehkan pindaan dilakukan.
Ia juga selaras dengan Perkara 160 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Manakala pindaan kedua berkaitan Perkara 66 mengenai teks Undang-Undang Negeri ditulis dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa rumi melengkapkan bahasa Inggeris dan tulisan jawi sebelum ini.
Ia juga selaras dengan Peruntukan 160 (B) perlembagaan persekutuan yang menyebut kalau ada percanggahan teks bahasa Inggeris dengan bahasa kebangsaan, maka teks bahasa kebangsaan mengatasi teks bahasa Inggeris.
Takiyuddin berkata, bagi meluluskan sesuatu pindaan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan ia perlu kepada majoriti dua pertiga.
“Di dalam Dewan Kelantan sekarang ada 45 Adun, dan kita hanya dapat 23 undi dan masih lagi kekurangan tujuh undi lagi bagi mendapatkan dua pertiga.
“Jadi enakmen itu tidak dapat diluluskan pada persidangan Dun hari ini kerana tidak mendapat sokongan majoriti,” katanya kepada pemberita selepas itu.
Bagaimanapun tambahnya, kesannya tidak banyak sangat iaitu kerajaan negeri tidak boleh mencetak perlembagaan negeri memandangkan sebelum ini peraturan menyebut pihak yang boleh mencetak perlembagaan hanya pencetak milik kerajaan sahaja.
“Selagi pindaan itu tidak dibuat selagi itulah kita tidak boleh mencetak semula perlembagaan negeri. Sampai bila-bila pun kita tidak boleh cetak semula selagi pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri tidak dibuat,” ujarnya.
Keduanya tujuan pindaan dibuat bagi membolehkan perlembagaan negeri dicetak dalam bahasa kebangsaan iaitu tulisan rumi. Sekarang perlembagaan Kelantan ditulis dalam tulisan jawi dan Inggeris.
Takiyuddin berkata, nampaknya pihak pembangkang tidak begitu prihatin biar pun pindaan itu dibuat atas arahan pejabat Peguam Negara.
“Selain itu kerajaan negeri juga telah mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan, di mana baginda bersetuju supaya pindaan dibuat,” tambahnya.
Beliau juga berkata, penafian majoriti dua pertiga seharusnya tidak melibatkan benda-benda yang tiada berkaitan dengan kepentingan awam.
“Dan kalau mereka menggunakan kelebihan majoriti dua pertiga bagi menggagalkan usaha kerajaan ia adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Kita hendak buat dalam bahasa Melayu yang boleh dibaca seluruh rakyat.
“Ini bermakna mereka merupakan pembangkang yang tidak konstruktif kerana membangkang dalam perkara-perkara yang sepatutnya tidak dibangkang. Kita akan beritahu rakyat terhadap apa yang sebenar berlaku,” katanya.
Beliau juga berkata, pindaan serupa sudah dibuat di negeri-negeri lain kecuali Kelantan.
“Bagaimanapun kali ini adalah kali kedua kita bawa enakmen ini. Pada kali pertama kita bawa tetapi gagal mendapat kerjasama pihak pembangkang.
“Sedangkan secara peribadi saya sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS telah berjumpa dengan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri dua minggu sebelum ini.
“Dan pagi tadi saya berjumpa pula dengan Ketua Pembangkang, selaku Ketua Perhubungan Umno sebagai satu langkah yang sopan kita minta kerjasama mereka. Tetapi apa yang berlaku seperti yang dilihat sendiri tadi,” tambahnya.
Ditanya mengenai kemungkinan akan dibawa kembali enakmen itu katanya, ia perlu mendapat perkenan daripada Sultan terlebih dahulu.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, orang kampung dapat menilai sendiri gelagat wakil-wakil rakyat pembangkang yang tidak mendokong kehendak negara.
“Mungkin sepuluh, dua puluh ringgit sahaja nilai yang ada pada Umno,” kata
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment