Tuesday, February 20, 2007

Mursyidul Am ajak rakyat Melaka hayati Islam sepenuhnya

Zaili Muhammad Wed Feb 21, 07 04:42:41 AM
MELAKA, 21 Feb (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat rakyat negeri ini kembali kepada Islam sepenuhnya dan menolak fahaman nasionalis, komunis dan sosialis yang cenderung kepada sekularisme.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengingatkan umat Islam di negeri Hang Tuah itu bahawa, hanya dengan mengamalkan Islam sepenuhnya sebagai 'way of life' masa depan umat Islam akan terjamin.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran bangunan Kompleks PAS Kawasan Jasin (KOMPAJ) bertempat di Dataran HAMAS dekat sini, 18 Februari yang lalu.
Pada majlis yang turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, pimpinan PAS negeri dan kawasan, Tuan Guru Nik Aziz menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di negeri tersebut,bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan.
"Nabi Muhammad s.a.w adalah contoh tauladan terbaik dan Nabi akhir zaman yang dihalau dari kota Mekah oleh kaumnya kerana bercakap benar, mengajak kaumnya meninggalkan amalan jahiliah dan mengabdikan diri kepada Allah.
"Begitulah PAS yang mengingatkan dan mengajak agar kembali kepada Islam tetapi mendapat tentangan hebat dari Umno, pertentangan ini akan berterusan sehingga ke akhir zaman," katanya.
Menurut Menteri Besar Kelantan itu, perkara pertama dilakukan ketika mula memerintah ialah mengeluarkan semua wang kerajaan negeri dari bank yang mengamalkan 'riba' dan akhirnya mereka terpaksa membuka kaunter perbankan Islam.
Sementara itu dalam majlis yang sama, Ustaz Abdul Ghani menempelak pemimpin Umno yang bercakap mengenai projek yang 'dialibabakan', pada hal merekalah sebenarnya pengkhianat yang merompak hak rakyat.
"Demi pembangunan orang Melayu terpinggir, peniaga dihalau serta hak mereka dinafikan contohnya kedai Mara di tebing sungai Melaka telah dirobohkan dan dijadikan tempat meletak kereta, ini menyebabkan para peniaga Melayu itu merempat mencari tempat perniagaan yang baru," katanya.
Bagi kepimpinan PAS Kawasan Jasin pula, mereka amat bersyukur walaupun hujan renyai-renyai dan kadangkala lebat, tetapi orang ramai yang membanjiri dataran tidak berganjak demi untuk menjayakan majlis perasmian bangunan yang bakal menjadi mercu tanda kesinambungan PAS di negeri Melaka.
Pembangunan KOMPAJ diilhamkan seiring dengan tuntutan dan cabaran dakwah dan politik masakini dengan hasrat pimpinan pusat agar organisasi PAS mempertingkatkan mutu keupayaan khususnya dari aspek prasarana.
Sebelum ini Markaz PAS kawasan hanya mempunyai sebuah bangunan mengandungi pejabat, surau dan bilik mesyuarat yang tidak dapat menampung lagi keperluan PAS kawasan yang semakin berkembang pesat.
Menurut Setiausaha PAS Kawasan Jasin, Abdul Karim Kassim, KOMPAJ yang bakal dibina akan menempatkan satu dewan serbaguna, surau, pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat dan dijangka dapat melancarkan lagi pelbagai aktiviti dalaman parti seperti seminar,kursus serta sukan.
Sehubungan dengan itu Abdul Karim menyatakan kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai Skim Lot Wakaf KOMPAJ yang bernilai RM 10 sekaki persegi bolehlah menghubungi Bendahari PAS Kawasan Jasin, Suhaimi Harun di talian 013-6208858. - mr

No comments: