Roy Rasul Thu Feb 08, 07 04:57:51 AM
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Hrkh) - Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi, Mohamad Sabu menyifatkan maklum balas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap memorandum tuntutan tiga perkara dari badan itu sebagai tidak masuk akal dan 'amat mengarut'.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS melahirkan kekecewaannya dengan jawapan SPR terhadap tuntutan badan yang diwakilinya terutama dalam isu membabitkan penghapusan undi pos dan daftar pemilih secara automatik.
“Nampak sangat SPR mengarut dan jelas mereka takut bahawa tidak ramai orang keluar mengundi sedangkan orang keluar mengundi bergantung kepada suasana, kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem demokrasi,” katanya semasa dihubungi Harakah.
Dalam surat jawapan bertarikh 15 Januari, SPR hanya mengambil maklum cadangan untuk menggunakan dakwat/tanda ke atas jari pengundi bagi membuktikan pengundi telah membuang undi.
Cadangan itu dibuat Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi dalam pertemuan dengan SPR, 4 September tahun lalu.
Dua lagi tuntutan supaya rakyat berumur 21 tahun secara automatik menjadi pengundi berdaftar dan penghapusan pengundian secara pos ditolak tanpa sebarang alasan.
Mohamad bagaimanapun mahu SPR mengkaji segera cadangan penggunaan dakwat kepada pengundi.
Mengulas isu berkaitan, Mohamad tidak menolak kemungkinan bahawa PAS dan sekutu politiknya akan terus memboikot pilihan raya selepas berbuat demikian di Batu Talam.
"Dari semasa ke semasa, kita akan bincang dan kemudian buat keputusan. Kita juga akan lihat pada suasana dan kita akan pantau perubahan SPR.
“Ertinya apabila ada pilihan raya kecil kita akan mesyuarat dulu dan sekiranya SPR terus bertindak demikian, mungkin kita mengambil tindakan seperti di Batu Talam,” katanya.
Mengulas gerakan kempen Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dianggotai parti-parti politik dan NGO, satu majlis diskusi akan diadakan ada 10 Februari di Kelab Century Paradise, Taman Malawati, Kuala Lumpur.
Bersih juga, jelas beliau sedang merangka memorandum untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agung.
“Kita mahu sistem pilihan raya yang dijalankan di negara ini benar-benar bersih dan adil," katanya.
Bersih juga, katanya mencadangkan sistem ‘propotional representative’ (perwakilan berkadaran) yang lebih adil dan menggambarkan hasrat pengundi berbanding sistem perwakilan kawasan yang dilaksanakan sekarang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment