Maslan Yusoh Fri Feb 16, 07 01:36:31 PM
KOTA BHARU, 16 Feb (Hrkh) – Biar pun agak ketinggalan bagi menyokong penggunaan emas dalam urus niaga, namun kenyataan Dato’ Seri Najib Razak semalam bertepatan dengan usaha dilakukan kerajaan Kelantan.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kita merakam ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana baru sedar terhadap kepentingan penggunaan emas.
“Terima kasih diucap kepada Timbalan Perdana Menteri kerana sedar kepentingan untuk kembali menggunakan nilai emas dalam urus niaga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan Najib berkata, urus niaga syariah yang membolehkan emas digunakan sistem kewangan dapat mencegah susut nilai dan nilai mata wang.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, penggunaan dinar emas dan dirham perak boleh menjadi pendekatan alternatif untuk merancang pengurusan kekayaan.
Tahun lepas Kelantan melancarkan Emas Dinar Kelantan bagi kegunaan sebagai mas kahwin, bayaran zakat, hadiah dan simpanan nilai. Sejak dilancarkan ia mendapat sambutan menggalakkan termasuk daripada bukan Islam.
Emas Dinar tersebut diedar melalui rangkaian kedai Ar Rahn yang terdapat di seluruh jajahan. Emas Dinar Kelantan dibuat dalam tiga bentuk iaitu 1.06 gram, 2.12 gram dan 4.25 gram.
Cadangan menggunakan mata wang emas dinar dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) beberapa tahun lalu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, wang kertas sebenarnya tidak ada nilai kerana ia tidak dibuat daripada emas dan mudah terdedah kepada spekulasi.
“Wang kertas sekarang adalah daripada kertas buruk yang ditulis nilainya sehingga ia digelar sebagai wang,” ujarnya.
Timbalan Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasuruddin Daud berkata, kerajaan Pusat ketinggalan kerana baru hendak mengiktiraf penggunaan emas dinar dalam urus niaga.
Menurutnya banyak perkara yang telah berjaya dilaksanakan di Kelantan ditiru secara senyap-senyap kerajaan Pusat.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Haji Zakaria Yaakub pula menegaskan sepatutnya semua pihak menyokong gagasan yang dikemukakan Dr Mahathir sebelum ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan menolak penggunaan dinar emas dalam urus niaga di negara ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment