Friday, February 16, 2007

PAS dekati kaum India melalui Kelab Penyokong PAS Kaum India

Nyza Ayob Fri Feb 16, 07 09:47:35 AM
KUALA LUMPUR, 16 Feb (Hrkh) - "Dato' Seri Samy Vellu mungkin membina satu jambatan di Pulau Pinang untuk mengkayakan pemimpin BN. Masyarakat India dalam Kelab Penyokong PAS pula membina 'jambatan untuk ke bulan' yang akan membawa perpaduan antara kaum. Kita berterima kasih kepada PAS kerana memberi peluang ini."
Itulah antara kata-kata penuh semangat yang diluahkan oleh pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India, N. Gobalakrishnan di hadapan kira-kira 600 orang penyokong PAS serta ahli Kelab Penyokong PAS di Dewan Fadzil Noor, Taman Melewar sempena pelancaran penubuhan kelab Penyokong PAS Kaum India, malam tadi.
Jelas Gobalakrishnan, masyarakat India sudah lama ingin bersama dengan PAS dan merasakan sekarang masa yang terbaik dan PAS telah menjadi parti untuk mereka berteduh.
Beliau berharap apa jua bentuk penindasan yang mereka alamai dapat disuarakan melalui kelab ini. Kelab ini juga katanya berfungsi untuk menyedarkan rakyat Malaysia supaya jangan memandang PAS daripada sudut agama sahaja tetapi hendaklah dilihat daripada sudut ekonomi, sosial dan cara hidup.
"Perpaduan dengan ahli parti PAS penting kerana kita tahu parti PAS sejak ditubuhkan 50 tahun dahulu hingga sekarang bergerak lancar tanpa sebarang penindasan terhadap bangsa lain di negara kita walaupun berlaku peristiwa 13 Mei," katanya.
Kelab Penyokong PAS Kaum India dilancarkan oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu. Pada majlis itu juga kira-kira 30 orang kaum India dari Perak, Kelantan, dan Batu Caves, Selangor hadir dalam majlis penuh makna itu. Tidak ketinggalan meraikan majlis tersebut, ahli Kelab Penyokong PAS Kaum Cina serta bekas calon bebas dalam pilihan raya kecil Batu Talam, Ng Chee Pang.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Ustaz Mujahid Yusoff dalam sidang media berkata penyertaan kaum India dalam Kelab Penyokong PAS merupakan mercu tanda baru bagi PAS untuk memecahkan tembok perkauman yang selama ini menjadi alasan bagi Barisan Nasional untuk terus memerintah negara ini dengan memecah belah kaum yang ada. - mns

No comments: