Harakahdaily Fri Feb 09, 07 09:39:46 AM
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh)- Konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak berapa disenangi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam wawancara dengan majalah Off The Edge keluaran Februari, mantan Presiden Umno itu menyifatkan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan pentadbiran Abdullah sebagai 'mengelirukan rakyat'.
Ketika ditanya mengapa beliau begitu kritikal dengan Islam Hadhari sedangkan konsep itu sangat munasabah dan sederhana, Dr Mahathir menjawab bahawa Islam 'tanpa Hadhari' pun adalah agama yang sangat munasabah dan sederhana.
"Jadi apakah alasan untuk kita berkata, 'Kita mesti berubah sekarang, kita mesti melaksanakan keadilan?' Semuanya telah ada di situ sejak dahulu. Dan jika kamu membaca al-Quran, kamu akan dapati panduan di dalamnya bukan sahaja sesuai untuk 1400 tahun lalu, tetapi juga sekarang.
"Jadi kamu tidak perlu memperkenalkan 'Islam baru' yang dinamakan Islam Hadhari; ia mengelirukan rakyat," wawancara dengan majalah itu dipetik.
Ketika ditanya bagaimana beliau membezakan Islam Hadhari dengan program 'penerapan nilai-nilai Islam' yang diperkenalkan sewaktu pentadbirannya, Dr Mahathir yang menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun berkata, program itu adalah selaras dengan ajaran fundamental Islam.
"...kamu perlu berlaku jujur, amanah; jika kamu ditugaskan untuk melakukan sesuatu, kamu perlu berpegang kepada janji... ini nilai yang telah ada (dalam Islam) sejak dahulu, ia bukan baru; kamu tidak perlu berkata ini (ajaran) Islam moden...," jelasnya.
Beliau menambah, Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. (1400 tahun lalu) adalah sama seperti mana yang diamalkan sekarang walaupun dalam konteks yang berbeza.
Menyentuh tentang hasrat pentadbiran Abdullah untuk menjadi lebih telus, menganugerahkan tender kerajaan secara teratur dan mewujudkan sistem penyerahan (delivery system) yang lebih baik, Dr Mahathir yang bakal mencapai usia 82 tahun pada 10 Julai akan datang, berpendapat ia adalah janji-janji politik yang belum dibuktikan.
"Hinggakan baru-baru ini ketika penilaian dibuat terhadap tempoh pentadbirannya, orang yang tidak menentangnya (Abdullah) memberi komen bahawa janji-janjinya bagus tetapi tidak dilaksanakan.
"Dan ia tidak dilaksanakan kerana sebenarnya tiada kesungguhan... Kita tahu bahawa beberapa projek telah diberikan (kepada beberapa pihak), tetapi kita tidak melihat tender diiklankan. Sebagai contoh, (projek) jambatan kedua Pulau Pinang yang sepatutnya diberikan kepada UEM, saya fikir... tidak ada tender sebenar (untuk projek itu)," katanya.
Sambil menyifatkan Abdullah sebagai tidak mengkotakan apa yang dikata, Dr Mahathir berkata berjanji adalah suatu yang baik tetapi ujian sebenar adalah melaksanakan apa yang dijanjikan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment