Thursday, February 8, 2007

Dr Mahathir ulangi Rafidah keluarkan ribuan AP

Abdul Aziz Mustafa Thu Feb 08, 07 06:32:41 AM
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali menggambarkan bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Dato' Seri Rafidah Aziz telah mengeluarkan ribuan permit import kereta setelah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
Apa yang digambarkan oleh Dr Mahathir itu dijangka akan memburukkan lagi moral kepimpinan Abdullah.
"Di masa saya (menjadi Perdana Menteri), beliau (Rafidah) begitu berhati-hati, tidak memberikan beribu-ribu AP, (tetapi) selepas masa saya, my goodness...." kata bekas Perdana Menteri dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini.
Ketika ditanya adakah Rafidah terlibat dengan rasuah, beliau berkata: "Tidak (terlibat) di masa saya".
Mengenai laporan pembelian sebuah jet eksekutif yang dikatakan bernilai RM200 juta, Dr Mahathir mengulangi ulasan sinisnya bahawa “amat penting” untuk membeli jet mewah tersebut.
“Sesetengah orang mungkin telah terdengar Agong berkata ‘belilah saya kapalterbang yang lain, saya perlukan kapal terbang yang lain,’ Itulah sebab mereka membelinya,” katanya dengan sinis.
Abdullah yang sebelum ini dikatakan membeli pesawat tersebut, telah menjelaskan bahawa kerajaan membeli jet eksekutif itu melalui salah sebuah syarikat miliknya untuk kegunaan rasmi, termasuk oleh Yang di-Pertuan Agung.
Mengenai laporan kononnya Abdullah telah membeli sebuah bot mewah di Turki, Dr Mahathir berkata, beliau diberitahu bahawa jutawan Tan Sri Ananda Krishan yang mahu kapal itu dibina. Abdullah menafikan beliau membeli bot mewah itu.
“Dia (Ananda) sering mengacau saya, bertanya saya mengenai rekabentuknya, (tapi) saya tidak memperdulikannya,” kata Dr Mahathir sambil menambah, beliau telah meminta jutawan itu membawa kapal layarnya ke Pelabuhan Telaga di Langkawi tetapi Ananda keberatan berbuat demikian.
Dr Mahathir juga mengulangi bahawa beliau tetap enggan berdamai dengan timbalan yang dipecatnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim".
"Tidak, tidak. Saya tidak nampak sebarang sebab untuk berdamai dengannya," kata beliau.
Malah, beliau mendakwa Anwar bercakap bohong apabila menafikan dakwaan bahawa bekas timbalannya itu telah memaklumkan kepadanya mengenai rasuah yang membabitkan dua pemimpin kerajaan sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
“Karut, dia tidak memberi apa-apa bukti. Anwar cakap bohong...dia tidak pernah cakap benar, dia cakap bohong,” katanya.

No comments: