Salmah Mat Husain Wed Feb 07, 07 08:37:41 AM
KOTA BHARU, 7 Feb (Hrkh) – Rakyat sepatutnya menggunakan peluang terbaik pada pilihan raya umum ke-12 ini bagi menghukum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui pembentukan sebuah kerajaan baru.
Naib Presiden PAS, Haji Mohammad Sabu berkata, pengendalian pilihan raya yang benar-benar telus hanya dapat dijalankan oleh kerajaan baru melalui mandat diberi rakyat.
“SPR sekarang hanya memihak kepada kerajaan yang memerintah dan bukannya melaksanakan tanggungjawab secara telus dan adil,” katanya pada pertemuan dengan Dewan Muslimat PAS Kota Bharu, di sini baru-baru ini.
Menurutnya perkara itu tidak mustahil dicapai memandangkan sejarah pilihan raya umum 1999 telah membuktikan kesedaran rakyat yang tinggi sehingga banyak kubu BN berjaya ditembusi termasuk di Selangor dan Pahang.
Kata beliau, ada kawasan Dun dan Parlimen yang dimenangi calon BN hanya dengan majoriti undi antara 800 hingga 1,000 sahaja berbanding berpuluh-puluh ribu sebelum itu.
“Hanya SPR yang menjadi penyelamat kerajaan BN sekarang sehingga parti itu dapat bangkit semula pada pilihan raya umum 2004. Pengkhianatan dilakukan mereka bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada BN,” katanya.
Mohammad juga berkata, zaman gerhana SPR mulai terserlah di zaman Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang lambat laun akan menghancurkan kerajaan sendiri.
Menurutnya, pemboikotan pilihan raya di Batu Talam telah memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri sekarang, memandangkan zaman pemimpin sebelumnya perkara seumpama itu tidak berlaku.
“Pilihan raya umum ke-12 inilah peluang terbaik bagi membuat perubahan tersebut yang mungkin diadakan tahun ini,” katanya.
Kata beliau rakyat mulai sedar banyak kepincangan yang berlaku sekarang di mana ia dibuktikan dengan penurunan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dun Batu Talam Januari lalu.
Katanya, pilihan raya umum ini rakyat akan bangkit seperti seekor harimau yang baru keluar dari kandang, tidak lagi sebagaimana berlaku pada pilihan raya umum 2004.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment