Tuesday, February 13, 2007

Birokrasi, rasuah berpunca dari sistem tidak telus - Dr Syed Azman

Ali Bukhari Amir Wed Feb 14, 07 12:18:48 AM
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Hrkh) – Karenah birokrasi yang wujud dalam jabatan pentadbiran seperti yang digembar-gemburkan baru-baru ini ada kaitannya dengan sikap melebihkan dan mendahulukan keperluan golongan VIP berbanding kepentingan umum.
"Apabila wujudnya birokrasi, gejala paling besar wujud sesudah itu ialah gejala rasuah. Rasuah akibat birokrasi wujud apabila tiada sistem yang telus. Ini kerana, ada sikap yang mengutamakan pihak tertentu dan tidak memberikan kebaikan ke atas orang awam.
"Iaitu, keutamaan itu hanya kepada VIP dan VVIP dalam urusan pentadbiran kerajaan," demikian kata Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman dalam temuramah melalui rancangan Hujah di TV9 yang membicarakan isu menangani karenah birokrasi semalam.
Menurut beliau, gejala ini sudah merebak menjadi satu budaya sehingga segala urusan tidak dapat disegerakan tanpa wang yang disifatkan beliau sebagai 'minyak pelincir'.
"Hal birokrasi ini berlaku sejak lama dahulu. Tetapi, tiada sebarang penyelesaian konkrit sehinggakan masalah rasuah dalam negara kita makin meningkat berdasarkan kajian-kajian antarabangsa," tambah beliau.
Dr Syed Azman berkata, hal karenah birokrasi juga wujud dalam menangani masalah banjir di Johor baru-baru ini.
"Daripada apa yang kami perhatian, penduduk banjir sendiri merungut kerana mereka terpaksa mengisi pelbagai borang semata-mata untuk mendapatkan bantuan segera. Mereka terpaksa ke rumah JKKK dan Adun untuk mendapatkan mereka. Hal ini tentunya menyulitkan," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Malaysian Employee Foundation (MEF), Haji Shamsudin Bardan dalam program yang sama turut mempersoalkan, kenapakah masalah birokrasi dapat dikurangkan di sesetengah jabatan tertentu sahaja?
"Di Jabatan Imigresen sekarang, pasport boleh disiapkan dalam sehari sahaja berbanding dahulu. Dulu, kita terpaksa membawa pelbagai dokumen dan mesti bawa sijil kelahiran. Sekarang makin mudah. Soalnya, kenapa hal ini tidak boleh dilaksanakan ke atas jabatan-jabatan kerajaan yang lain?" soal Haji Shamsudin.
Dalam pada itu, menurut Dr Syed Azman, karenah birokrasi mungkin berpunca daripada etika kerja yang tidak teratur.
“Kesan birokrasi turut menjalar di universiti-universiti. Rakan-rakan saya dalam kalangan pensyarah merungut bahawa mereka amat sukar mendapatkan kelulusan bagi menghadiri seminar antarabangsa di luar negeri.
“Misalnya, mereka perlu memberikan jawapan untuk hadir seminar antarabangsa tersebut dalam tempoh dua minggu. Tapi, mereka perlu menunggu kelulusan itu sehingga sebulan. Malah mereka perlu dapatkan kelulusan hinggalah kepada Menteri Pengajian Tinggi," Dr Syed Azman.

No comments: