Wednesday, May 2, 2007

Pimpinan Umno bergelar Dato' akui BN tabur duit

Saidah Hairan Thu May 03, 07 11:14:36 AM
IJOK, 3 Mei (Hrkh) - Pimpinan Umno Selangor yang bergelar Dato' mengakui kemenangan BN dalam Pilihan raya Dun Ijok disebabkan strategi kotor yang menyelinap di beberapa buah kampung di Dun tersebut, terutama malam akhir 28 April lalu.

Bermula jam 2 pagi pada hari Sabtu lalu, pimpinan Umno mengetuk pintu dari sebuah rumah ke rumah untuk menabur duit supaya mengundi calon BN, K. Parthiban, dakwa Dato' berkenaan.
Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, pemimpin Umno memang sudah tidak mempunyai sifat malu sehingga mereka terpaksa melaksanakan pelbagai projek dalam tempoh kempen Pilihan raya selama sembilan hari.
Beliau yang turut berceramah dalam majlis meraikan pengundi di Kampung Batu 8, Ijok malam semalam berkata, pemimpin Umno sudah hilang sifat malu sebab itu mereka berhempas pulas menurap dan menyiapkan jalan raya serta menyebarkan fitnah terhadap pemimpin KeADILan.
Katanya, ini bertepatan dengan hadis nabi yang bermaksud: "Apabila kamu sudah tidak malu buatlah apa yang kamu mahu."
Beliau terkilan dengan layanan buruk dan dahsyat terhadap pemimpin dan penyokong KeADILan, PAS dan DAP bermula di hari penamaan calon.
Pilihan raya Dun Ijok itu telah dijadikan medan pertempuran pihak Polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Umno yang ternyata berlagak sombong dan jahat.
Walaupun BN telah melemparkan pelbagai fitnah kepada pimpinan KeADILan dan PAS ia sedikit pun tidak menjejaskan hubungan dan kerjasama antara parti itu, tegasnya.
Menurut beliau, hubungan PAS dengan KeADILan makin mantap, bersatu dan sokongan akan diteruskan bagi menjamin perubahan dalam Pilihan Raya umum nanti.
Beliau menjamin Pilihan raya ke-12 kekuatan BA akan lebih jitu dan BA berharap pimpinan tinggi kedua-dua parti akan turun berkempen menemui rakyat.
"Kita ada Dato' Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.
Beliau yakin BA akan memerintah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Allah kerana BA merupakan kerajaan yang mempunyai sifat malu dan menghormati rakyat. - mks.

No comments: