Wednesday, May 30, 2007

Pertandingan tidak timbulkan perpecahan – Harun

Maslan Yusoh Thu May 31, 07 10:37:31 AM
MACHANG, 31 Mei (Hrkh) – Ketika parti-parti kompenan Barisan Nasional (BN) mengelakkan daripada mengadakan perhimpunan agung pemilihan tahun ini, sebaliknya PAS dan Parti Keadilan Rakyat tetap meneruskan agenda tersebut.
-->
PAS dan KeADILan yakin tidak wujud perpecahan dalam parti biar pun ia amat ditakuti Umno, ketika persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 tidak lama lagi.
Itulah juga falsafah yang dipegang Dato’ Harun Taib apabila menerima pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan sempena berlangsungnya muktamar PAS Pusat kali ke-53, bermula esok.
Baginya soal perpecahan dalam parti tidak wujud biar pun ketika saat-saat menghadapi pilihan raya umum ke-12 tidak lama lagi.
“Saya rasa tidak timbul soal perpecahan dalam parti bagi menghadapi pilihan raya umum sekarang. Jentera parti sudah lama bersiap sedia menghadapi pilihan raya.
“Sebaliknya saya akan berasa bersalah sekiranya tidak menerima pencalonan yang dibuat PAS kawasan-kawasan untuk jawatan Timbalan Presiden,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-46 di Madu di sini, malam tadi.
Markaz Dewan Ulamak milik Dewan Ulamak PAS Kelantan itu menjadi mercu tanda baru bagi golongan berkenaan kerana mempunyai aset bernilai jutaan ringgit.
Bangunan berbentuk bulat dua tingkat itu disiapkan tahun lepas mempunyai dewan, asrama lelaki dan perempuan, kantin dan rumah kakitangan. Ia terletak kira-kira 200 meter dari jalan utama Machang – Kota Bharu di Kampung Labok.
Harun berkata, beliau tidak tahu sebab apa ada kawasan-kawasan mencalonnya bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.
“Mungkin ada sesuatu yang mereka perlu. Saya tidak boleh hendak cakap.. kena tanya mereka,” katanya sambil ketawa kecil.
Bagaimanapun pada pendapatnya kemungkinan ahli di peringkat akar umbi melihat kewujudan sedikit kekosongan selepas Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Presiden menggantikan almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor.
Sedangkan katanya sudah menjadi satu tradisi jawatan nombor dua perlu memperlihatkan kepemimpinan yang berteraskan ulama.
“Maka saya akan merasa bersalah kalau mengsia-siakan harapan mereka dengan menarik diri daripada dicalonkan bertanding jawatan tersebut.
“Saya perlu meraikan pengharapan mereka. Malah ada yang datang menjelaskan hasrat mereka kepada saya,” katanya.
Menurutnya menjadi hak mereka untuk mencalonkan sesiapa pun kerana ia sudah menjadi amalan dalam parti tersebut yang mengekalkan prinsip demokrasi.
Kata beliau juga kepemimpinan Dewan Ulamak akan diteruskan biar pun ketiadaannya kerana sekarang mempunyai ramai ulama pelapis yang berwibawa.
Ditanya gaya ulama konvensional yang dibawa boleh membawa masalah katanya, gandingan ulama dan profesional dalam PAS sudah wujud sejak 1951 lagi.
Mengenai kesediaan Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang akan mempertahankan jawatannya, Harun berkata, itu adalah bagi Timbalan Presiden sekarang.

No comments: