Wednesday, May 30, 2007

Harun Taib isytihar ‘tinggalkan’ Dewan Ulama

Maslan Yusoh Thu May 31, 07 09:40:57 AM
MACHANG, 31 Mei (Hrkh) – Perasmian muktamar Dewan Ulama PAS Pusat malam tadi diselumbungi suasana agak pilu apabila ketuanya, Dato’ Harun Taib mengisytiharkan tidak lagi dapat berjumpa pada gelanggang itu pada muktamar akan datang.
-->
Menurutnya beliau telah mengetuai dewan tersebut sejak lebih 10 tahun lalu.
“Saya mengisytiharkan menarik diri dari pencalonan dalam Dewan Ulama,” katanya pada akhir ucapan dasar Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat kali ke-46 di Markas Dewan Ulama (Madu) di Labok malam tadi.
Hadir sama Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan anggota jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman.
Ucapan tema itu bertajuk ‘Istiqomah Mendokong Amanah’ yang pertama diadakan dalam agenda muktamar Dewan Ulama.
Pada ucapan itu juga beliau memberitahu tiada pertandingan jawatan tertinggi dewan tersebut yang berjaya diselesaikan secara syura.
Ketika ditemui pemberita selepas itu kata beliau setakat malam tadi tidak ada pertandingan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalnya serta jawatan lain iaitu Timbalan dan Naib.
Difahamkan Timbalan sekarang, Dato’ Mohamed Daud dijangka dilantik sebagai Ketua dan Naib Ketua, Ustaz Hashim Jasin mengisi jawatan Timbalan.
Manakala Naib Ketua pula dijangka disandang seorang anggota jawatankuasanya, Ustaz Salleh Sani Harun al Hafiz.
Sebelum ini semua jawatan utama dikatakan akan berlaku pertandingan apabila ada tokoh dicalon merebut jawatan tersebut. Dr Mohamad Daud, bekas pensyarah dikatakan mendapat pencalonan bagi jawatan Ketua.
Harun berkata, sudah menjadi kelaziman bagi jawatan utama dalam Dewan Ulama diselesaikan secara syura.
Sebelum Harun berada di posisi itu jawatan ketua Dewan Ulama dipegang Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dan berdasarkan kepada struktur baru bagi sesi 2007 – 2009, jawatan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat kembali semula kepada tokoh dari Kelantan. - mks.

No comments: